JAKARTA. FOTO AFP
JAKARTA. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Indonesia merancang untuk mengurangkan tempoh kuarantin daripada lima kepada tiga hari kepada pelancong sama ada warga asing dan warganegara yang mendapat suntikan penggalak.

Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa bermula pada 1 Mac, atau lebih awal bergantung kepada keadaan, dan kuarantin mungkin ditarik balik pada 1 April jika keadaan bertambah baik, kata Menteri Penyelaras Covid-19 Luhut Pandjaitan.

The Straits Times melaporkan, dalam taklimat kepada Presiden Joko Widodo Isnin lalu, beliau berkata, petanda bahawa negara itu sudah mencapai kemuncak wabak sudah ada berdasarkan kes aktif dan kemasukan ke hosiptal.

"Jangkitan di Jawa dan Bali kini berkurangan, tetapi beberapa wilayah (lain) di luar Jawa mula melihat peningkatan," katanya.

Pada taklimat yang sama, Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto berkata, gelembung perjalanan untuk pengunjung dari Singapura ke Batam dan Bintan akan bermula pada 18 Februari ini, dan pengaturan bebas kuarantin akan diteruskan ke Pulau Karimun.

Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran, dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan di Parlimen, pada Isnin berkata, negara itu dan Indonesia sedang berusaha untuk memudahkan perjalanan bebas kuarantin dua hala bagi pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya antara Singapura, dengan Batam dan Bintan.

Ia sebagai sebahagian daripada rancangan membuka semula sempadan secara beransur-ansur sambil menguruskan risiko kesihatan awam.

"Kami akan berkongsi butiran lanjut apabila bersedia," katanya.

Beliau turut mengeluarkan angka mengenai jumlah pelancong antara Singapura dengan Batam dan Bintan iaitu purata ketibaan dan pelepasan penumpang feri adalah kira-kira 146,000 seminggu secara keseluruhan pada 2019.

Sejak Indonesia membuka gelembung perjalanan bebas kuarantin untuk pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya dari Singapura ke Batam dan Bintan mulai 24 Januari, jumlah itu kekal sekitar 600 seminggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 10:19 AM