ASHIN Wirath. FOTO fail AFP
ASHIN Wirath. FOTO fail AFP
AFP

Yangon: Tentera junta Myanmar membebaskan sami Buddha anti-Islam semalam yang dipenjarakan atas tuduhan menghasut kerajaan Aung San Suu Kyi yang digulingkan Februari lalu.

Ashin Wirathu, yang sebelum ini pernah digelar majalah Time sebagai 'Buddhist Bin Laden' kerana menghasut kebencian agama di Myanmar dibebaskan selepas semua tuduhan terhadapnya digugurkan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Wirathu kini menerima rawatan di sebuah hospital tentera tanpa penjelasan khusus sebab dia dimasukkan ke hospital.

Lelaki berusia 53 tahun itu cukup dikenali kerana sikap anti-Islamnya terutama terhadap etnik Islam Rohingya yang menjadi pelarian.

Pada 2017, pihak berkuasa tertinggi Buddha di Myanmar mengharamkan Wirathu daripada menjalankan penyebaran agama selama setahun kerana ucapan berbaur hasutan.

Selepas larangan itu tamat, pendakwah protentera itu kembali berucap dengan menuduh kerajaan Suu Kyi terbabit rasuah dan mengkritik kegagalan meminda Perlembagaan mengikut kehendak junta tentera.

Dia juga menghadapi tuduhan cuba menyemarakkan 'kebencian atau penghinaan' dan 'meluahkan kemarahan' terhadap kerajaan demokrasi Suu Kyi.

Myanmar dilanda kemelut sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu yang menyaksikan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 9:56 AM