SEORANG kanak-kanak membantah perkahwinan budak perempuan dengan lelaki dewasa.
SEORANG kanak-kanak membantah perkahwinan budak perempuan dengan lelaki dewasa.
Agensi

Amman: Perkahwinan bawah umur di Jordan meningkat secara mendadak tahun lalu sepanjang pandemik Covid-19 melanda, susulan masalah kewangan dihadapi keluarga miskin, kumpulan hak asasi manusia memberi amaran.

Jumlah perkahwinan bawah umur yang didaftarkan di Mahkamah Syariah meningkat hampir 12 peratus dari 2019 hingga 2020, menurut data terbaru dari Ketua Jabatan Kehakiman Islam.

Walaupun undang-undang sivil Jordan menetapkan usia yang dibenarkan untuk berkahwin adalah 18 tahun ke atas bagi lelaki atau perempuan namun pengecualian diberikan kepada mereka yang berusia 15 tahun ke atas sekiranya hakim mempertimbangkannya demi kepentingan mereka.

Peningkatan mendadak itu menyebabkan ada tuntutan untuk mengubah undang-undang sedia ada, pada masa sama ada desakan supaya hakim mengurangkan jumlah kelulusan perkahwinan bagi mereka di bawah umur.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan Jordan bagi Wanita, Salma Al-Nims menyalahkan pandemik yang menyebabkan ekonomi merosot, dan keciciran sekolah sehingga kadar perkahwinan bawah umur 'meroket'.

"Sejak awal krisis Covid-19 melanda, suruhanjaya sudah memberi amaran bahawa pembelajaran jarak jauh akan menyebabkan masalah sosial, dan meningkatkan buruh kanak-kanak serta perkahwinan bawah umur.

"Baru semalam saya dapat tahu kanak-kanak berusia 15 tahun berkahwin, dan apabila saya bertanya mengenai alasan...mereka memaklumkan keluarga pengantin lelaki kaya. (Jadi) bagaimana hakim meluluskan perkahwinan itu?" katanya kepada Arab News.

Daripada 67,389 perkahwinan yang didaftarkan di Mahkamah Syariah pada 2020, 7,964 daripadanya membabitkan gadis berusia bawah 18 tahun.

Pada 2019, sebanyak 7,224 kes perkahwinan bawah umur direkodkan, turun daripada lebih 10,000 pada 2016.

Lebih membimbangkan, angka pada 2020 turut merangkumi lebih 2,000 perkahwinan yang membabitkan gadis berusia 15 tahun.

Hanya 194 perkahwinan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 18 tahun.

Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Sadam Abu Azzam berkata, peningkatan perkahwinan bawah umur sangat 'mengerikan'.

"Walaupun ia hanya satu kes, tetapi jumlahnya masih tinggi," katanya yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Parlimen Jordan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan membenarkan kanak-kanak lelaki dan wanita bawah 18 tahun berkahwin, yang dianggap mencabul hak asasi manusia.

PELAKON kanak-kanak memainkan peranan sebagai gadis yang dipaksa berkahwin dengan lelaki dewasa dalam program diadakan Amnesty International bagi mengecam perkahwinan kanak-kanak. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:31 AM