Arab Saudi mula beri pampasan kepada keluarga kakitangan kesihatan yang meninggal dunia akibat Covid-19. - FOTO Agensi
Arab Saudi mula beri pampasan kepada keluarga kakitangan kesihatan yang meninggal dunia akibat Covid-19. - FOTO Agensi
AFP

Riyadh: Arab Saudi mula memberikan pampasan kepada keluarga kakitangan kesihatan yang meninggal dunia akibat Covid-19, rentetan pengumuman yang dibuat tahun lalu.

Dalam pengumuman Oktober tahun lalu itu, ia mengumumkan bahawa keluarga akan menerima 500,000 Saudi riyal (kira-kira RM562,531) sekiranya berlaku kematian ahli keluarga mereka akibat Covid-19.

Ia memberi pampasan kepada keluarga kakitangan dalam sektor kesihatan, sama ada kerajaan atau swasta, orang awam atau tentera, warganegara atau bukan warganegara Arab Saudi.

Keputusan itu berkuatkuasa dari tarikh pertama jangkitan dicatatkan di negara berkenaan iaitu pada 2 Mac 2020.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan Arab Saudi sudah memulakan pembayaran pampasan kepada keluarga kakitangan terbabit.

"Mereka memberikan sepenuh jiwa raga untuk berjuang menentang pandemik ini bagi melindungi keselamatan orang awam dan negara," kata SPA.

Bagaimanapun, sehingga kini belum dapat dipastikan jumlah kakitangan kesihatan yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Arab Saudi, di mana kebanyakannya adalah warga asing yang bekerja sebagai kakitangan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:16 PM