Kereta api maglev CRRC dikatakan boleh memendekkan masa perjalanan Beijing-Shanghai kepada tiga jam setengah. FOTO  CRRC.
Kereta api maglev CRRC dikatakan boleh memendekkan masa perjalanan Beijing-Shanghai kepada tiga jam setengah. FOTO CRRC.
Agensi

Beijing: China melancarkan kereta api maglev yang mampu mencapai kelajuan sehingga 600 kilometer sejam (kph) pada Selasa, terpantas pernah dibina negara itu.

"Kereta api maglev berkelajuan tinggi China akan menjadi industri yang berdaya maju," kata Sun Yongcai, Pengerusi China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) dalam kenyataan yang dipetik Nikkei Asia

Kelajuan kereta api itu dikatakan menghampiri 603 kph, rekod dunia yang dicapai kereta api maglev Jepun keluaran Central Japan Railway, sekali gus menyaksikan persaingan sengit dalam penguasaan teknikal bagi pasaran kereta api laju.

China memulakan pembangunan kereta api maglev dengan lima gerabak menggunakan teknologi sendiri sejak 2016 dan ia berjaya menjalani ujian percubaan pada Jun 2020.

CRRC yang merupakan pengeluar lokomotif terbesar dunia, melakukan penambahbaikan sebelum memperkenalkan kenderaan itu yang mana ketahanan dan ringan menjadi kekuatannya.

Dalam laporan awal pada 2019, sistem pengangkutan maglev dikatakan berupaya melakukan perjalanan dari Beijing ke Shanghai dalam tempoh tiga jam setengah, termasuk waktu menunggu.

Ia memendekkan masa perjalanan selama dua jam berbanding menggunakan kereta api laju biasa (bullet train).

Setakat ini, syarikat itu belum mengumumkan sebarang rancangan lanjut untuk pengkomersialan pengangkutan maglevnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 10:24 AM