UJIAN pemanduan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di Kuching Isthmu. FOTO Nadim Bokhari
UJIAN pemanduan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di Kuching Isthmu. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching : Prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) yang diberi nama 'Bulan', menarik perhatian pengguna jalan raya apabila trem pintar itu menjalani ujian pemanduan di Kuching Isthmus, di sini, hari ini.

Ujian itu adalah bagi mengenal pasti sebarang masalah sebelum trem tiga gerabak berkuasa hidrogen itu dibawa untuk latihan di Kota Samarahan.

Trem ART itu yang dibina di China tiba di Kuching pada 5 Ogos lalu untuk kegunaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Projek KUTS yang bernilai RM6 bilion adalah untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kuching dan Samarahan.

Kerja-kerja pembinaan laluan untuk trem itu sedang giat dilaksanakan ketika ini dengan laluan biru sepanjang 27.6 kilometer (km) menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke stesen pertukaran Hikmah di pusat bandar raya Kuching.

Laluan merah sepanjang 12.3 km pula bagi perjalanan dari Kuching Sentral ke Pending manakala laluan hijau sepanjang 30 km bagi perjalanan dari Pending ke Damai di Santubong.

Projek KUTS dikendalikan Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Trem pintar itu dibangunkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Electric Locomotive Research Institute Co Ltd yang pertama menggunakan sistem kuasa tenaga hidrogen.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, memberikan nama trem itu 'Bulan'.

Ia sempena nama kereta api pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946 namun perkhidmatannya ditamatkan ketika pendudukan tentera Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:37 PM