PEJUANG Taliban menaiki motosikal meronda sekitar jalan di Kabul, semalam. FOTO AFP
PEJUANG Taliban menaiki motosikal meronda sekitar jalan di Kabul, semalam. FOTO AFP
AFP

Tehran: Presiden Iran Ebrahim Raisi semalam menegaskan 'kekalahan' Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan harus membawa keamanan berkekalan di negara itu.

"Kekalahan ketenteraan dan pengunduran AS dari Afghanistan seharusnya memberi peluang untuk rakyat negara itu mengembalikan hidup mereka, keselamatan dan keamanan yang berkekalan," kata Raisi, yang dipetik pejabatnya.

Kenyataan presiden itu dikeluarkan selepas Taliban menguasai Kabul, namun tidak secara langsung menyebut kumpulan itu (Taliban) atau kejatuhan ibu kota Afghanistan.

Raisi, ketika pertukaran dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, berkata Iran menginginkan hubungan baik dengan Afghanistan dan pihaknya mengikuti lebih dekat pergolakan yang berlaku di negara itu.

Kementerian Luar memberi maklum balas, Zarif sudah menemui perutusan khas dari China ke Afghanistan, Yue Xiaoyong, dan membincangkan isu penduduk negara itu yang dipindahkan ketika perkembangan terbaharu di Afghanistan dan kemasukan mereka beramai-ramai ke negara jiran.

Iran berkongsi 900 kilometer sempadan dengan Afghanistan, dan hampir 3.5 juta penduduk Afghanistan menjadi pelarian di negara itu, menurut agensi pelarian PBB.

Kelmarin, Ketua Hal Ehwal Sempadan, Kementerian Dalam Negeri Iran, Hossein Ghassemi berkata, usaha sedang dilakukan di tiga wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan untuk mendirikan tempat tinggal sementara sebagai persediaan menerima pelarian dari negara itu.

Pelarian dari negara itu akan dihantar balik ke Afghanistan selepas keadaan bertambah baik, kata Hossein kepada agensi berita rasmi IRNA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 12:33 PM