PASAR ditutup di Kandahar, Afghanistan. FOTO EPA
PASAR ditutup di Kandahar, Afghanistan. FOTO EPA
AFP

Kabul: Taliban menguasai dua lagi bandar di Afghanistan termasuk satu yang terletak hanya 200 kilometer dari Kabul ketika puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka di utara negara itu.

Biarpun begitu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden belum memutuskan untuk menangguhkan pengunduran tenteranya yang dilaksanakan sepenuhnya sebelum 31 Ogos ini, meskipun lapan ibu kota wilayah sudah dikuasai Taliban,

Sebaliknya, Biden mendesak pemimpin Afghanistan bersatu dan berjuang untuk diri mereka sendiri.

"Saya tidak menyesali keputusan untuk menarik tentera AS selepas dua dekad perang," katanya kepada wartawan di Washington.

Dia berkata demikian selepas pemberontak menguasai kota Farah, ibu kota wilayah yang sama, dan Pul-e-Khumri di Baghlan, dalam tempoh beberapa jam.

"Taliban kini berada di bandar. Mereka menaikkan bendera mereka di dataran utama dan di pejabat gabenor," kata ahli parlimen Baghlan Mamoor Ahmadzai kepada AFP.

Penguasaan mereka di kawasan itu menandakan kejatuhan seluruh kawalan pemerintah di utara, kawasan anti-Taliban.

Pihak berkuasa bertempur dengan pemberontak di Kandahar dan Helmand, wilayah selatan yang menjadi kubu kuat Taliban.

Sementara itu, utusan khas Washington Zalmay Khalilzad berada di Qatar dalam cubaan meyakinkan Taliban untuk menerima gencatan senjata.

Wakil dari tuan rumah Qatar, Britain, China, Pakistan, Uzbekistan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Kesatuan Eropah juga akan membincangkan situasi di Afghanistan, kata sumber kepada AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 10:24 AM