PEMANDANGAN dari udara menunjukkan pengebumian yang berlaku di tanah perkuburan untuk mangsa koronavirus Covid-19 di Jakarta pada hari ini. FOTO AFP
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan pengebumian yang berlaku di tanah perkuburan untuk mangsa koronavirus Covid-19 di Jakarta pada hari ini. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Kes jangkitan Covid-19 di Indonesia melepasi angka dua juta selepas jumlah kes baru terus meningkat dan hospital menerima banyak pesakit baru.

Ia memberi amaran bahawa krisis kesihatan di Asia Tenggara mungkin berlarutan di luar kawalan.

Hari ini, Indonesia merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 14,536 kes, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi dua juta dan hampir 55,000 kematian.

Bagaimanapun, angka berkenaan mungkin tidak mewakili jumlah sebenar berikutan kurang ujian saringan dijalankan dan kelemahan dalam pengesanan kontak rapat.

Malah, pakar berkata, kes yang dilaporkan mungkin hanya mewakili 10 peratus daripada angka sebenar.

"Ini hanyalah permulaan. Ia mula menunjukkan tanda dan mungkin menjadi bom masa. Kita mungkin berakhir dengan 'letupan' lebih besar seperti di India," kata Windhu Purnomo, epidemiologis di Universiti Airlangga.

Angka terus meningkat ketika Indonesia menghadapi strain virus baru, termasuk varian Delta yang lebih mudah menular yang pertama kali dikenal pasti di India.

Peningkatan itu juga disumbangkan oleh pergerakan berjuta-juta orang yang merentas negara pada akhir Ramadan, walaupun terdapat larangan rasmi untuk mudik.

Angka penghunian hospital juga meningkat kepada lebih 75 peratus di Jakarta dan daerah-daerah lain, sementara pengebumian untuk mangsa Covid-19 juga dilaporkan melonjak.

Bulan ini, lebih 300 doktor yang sudah divaksinasi dan pekerja kesihatan di Jawa Tengah didapati dijangkiti Covid-19, dengan sekitar 12 orang dirawat di hospital.

Hampir 1,000 pekerja kesihatan Indonesia meninggal dunia akibat virus itu sejak wabak itu bermula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:26 PM