PETUGAS bersiap sedia mengebumikan jenazah korban Covid-19 di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. FOTO AFP
PETUGAS bersiap sedia mengebumikan jenazah korban Covid-19 di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Minggu ini media melaporkan seramai 114 doktor meninggal dunia di Indonesia akibat Covid-19 hanya untuk tempoh separuh pertama bulan Julai.

Angka ini naik mendadak berbanding bulan sebelumnya ketika negara itu masih bergelut dengan jumlah kematian yang tinggi akibat Covid-19.

Persatuan Doktor Indonesia (IDI) berkata, 114 doktor itu meninggal dunia antara 1 Julai hingga 18 Julai lalu.

Apa yang lebih mengejutkan angka itu sebenarnya 20 peratus daripada 545 doktor yang maut akibat Covid-19 sepanjang pandemik itu di negara berkenaan.

Daripada jumlah itu, Jawa Timur merekodkan kematian doktor tertinggi iaitu 110 orang.

Statistik ini sudah dapat menggambarkan situasi penularan Covid-19 yang semakin meruncing di negara dengan jumlah penduduk keempat teramai di dunia itu.

Indonesia pada tahun lalu dilihat dapat mengekang penularan virus itu namun pada Khamis lalu ia secara tidak rasminya sudah menjadi pusat penularan baharu Covid-19 di Asia.

Pada hari sama, jumlah kes di Indonesia mencecah tiga juta selepas merekodkan 49,509 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam. Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Indonesia sebanyak 3,033,339.

Menurut Kompas, jumlah kes positif di Indonesia mencapai angka sejuta pada 26 Januari 2021.

Dalam tempoh lima bulan sahaja, ia meningkat kepada dua juta dan mencecah tiga juta dalam tempoh sebulan selepas itu.

Pada Khamis juga, Indonesia merekodkan 1,449 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, tertinggi pernah dicatatkan setakat ini. Ia membawa kepada jumlah kematian keseluruhan sebanyak 79,032.

Kompas dalam satu laporan berasingan melaporkan jumlah kematian pesakit Covid-19 yang menjalani pengasingan kendiri di Indonesia terus meningkat walaupun individu berkenaan tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kritikal.

Ketua Umum IDI Dr Daeng M Faqih berkata, punca utama kematian adalah disebabkan gejala bertambah buruk dan lambat mendapat rawatan sewajarnya.

"Terdapat lima tahap keadaan pesakit Covid-19 iaitu orang tanpa gejala (OTG), ringan, sederhana, berat dan kritikal.

"Ketika sedang mengasingkan diri, terdapat pesakit bergejala ringan yang berubah ke tahap sederhana dan sepatutnya perlu dibawa segera ke hospital.

"Namun, mungkin kerana keluarga tidak faham perubahan yang berlaku sehingga lambat dibawa untuk rawatan lanjut," katanya.

Lonjakan kes mula dikesan pada Mei. Menurut CNN, ia selepas musim perayaan Aidilfitri dan peningkatan ini menjadi cepat dengan penularan varian Delta yang lebih cepat berjangkit.

Apa yang lebih membimbangkan, varian yang menular ke 124 negara ini dijangka menjadi varian dominan di seluruh dunia dalam tempoh sebulan lagi.

Sehubungan itu, kerajaan Indonesia sebelum ini terpaksa melanjutkan sekatan pergerakan di negara itu dikenali sebagai Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat yang bermula 3 Julai sehingga esok 25 Julai.

Ia berikutan kes baharu Covid-19 di negara itu masih melepasi angka 35,000 kes sehari.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:15 AM