BANGUNAN Al-Jalaa di bom di bandar Gaza. FOTO Agensi
BANGUNAN Al-Jalaa di bom di bandar Gaza. FOTO Agensi
Agensi

Gaza: Ketika pesawat F-16 Israel 'meratakan' bangunan Al-Jalaa di bandar Gaza, rejim Zionis mengatakan bangunan 11 tingkat itu menjadi sasaran kerana mempunyai aset perisik Hamas.

Itu antara dakwaan yang berulang kali dinyatakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menerusi program CBS, Face the Nation tanpa perincian lebih lanjut.

Middle East Eye (MEE) melaporkan tidak lama kemudian, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengatakan dia belum melihat bukti Israel berkaitan operasi Hamas di bangunan itu.

Dua hari kemudian, Blinken mengatakan AS menerima maklumat lebih lanjut tetapi enggan membincangkannya.

Sementara itu, penghuni bangunan menolak dakwaan Israel.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Associated Press (AP), Gary Pruitt yang memiliki biro di bangunan itu selama 15 tahun mengatakan syarikat itu 'tidak merasakan Hamas ada di sana.'

Ketua AP, Sally Buzbee meminta siasatan bebas dilakukan sementara wartawan tanpa sempadan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa melakukan siasatan.

Pengeboman Israel di bangunan Al-Jalaa menjadi berita utama berikutan ia menempatkan media antarabangsa.

Bangunan Al-Jalaa bukanlah satu-satunya bangunan tinggi yang musnah dalam serangan rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza, selama 11 hari, sejak 10 Mei lalu.

Israel turut menyerang terhadap bangunan kediaman, sekolah, hospital dan bangunan awam lain dengan mengatakan bahawa Hamas atau kumpulan pejuang Palestin lain beroperasi di bangunan berkenaan.

AFP sebelum ini melaporkan pemilik bangunan media yang musnah dalam serangan udara Israel memfailkan kes kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Jawad Mehdi menyifatkan, serangan pada 15 Mei lalu yang memusnahkan hartanahnya, Menara Al-Jalaa yang menempatkan ibu pejabat agensi berita, AP dan Al Jazeera TV, sebagai satu jenayah perang.

Katanya, seorang pegawai perisik Israel memberi amaran mengosongkan bangunan 13 tingkat itu sejam sebelum serangan peluru berpandu dilancarkan.

Peguamnya, Gilles Devers dalam satu kenyataan berkata, pemilik bangunan itu yang juga rakyat Palestin menyerahkan kepada peguamnya untuk membawa kes berkenaan kepada ICC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:31 AM