MURAL dilukis Mudasir Gull yang tular di media sosial.
MURAL dilukis Mudasir Gull yang tular di media sosial.
Agensi

Srinagar: Pelukis antara 20 individu yang ditahan polis India di Kashmir selepas melukis mural yang menunjukkan solidariti buat penduduk Palestin.

Individu lain adalah pemimpin agama dan mereka yang lantang memperjuangkan nasib penduduk Palestin.

Keluarga pelukis itu, Mudasir Gull, 32, yang berpusat di bandar ini menyelar tindakan pihak berkuasa sebagai menyekat kebebasan artis berkarya.

"Kenapa dia perlu ditahan? Apa kesalahan dia? Adakah kerajaan mahu mengharamkan seni di si ni?" kata kakaknya, Muzamil Firdous.

Firdous juga memberitahu Al Jazeera bahawa dia kesal apabila mereka tidak dibenar meluahkan kesedihan terhadap apa yang berlaku di Palestin.

"Apabila seluruh dunia bangkit menentang tindakan Israel, kami tidak boleh bercakap, tidak boleh berkarya, demokrasi jenis apa ini?" katanya.

Penduduk bandar ini berarak di jalanan selepas solat Jumaat, 14 Mei lalu dan mengibarkan bendera Palestin tanda solidariti bersama penduduk negara berkenaan.

Ketika itu Gull disaran penduduk supaya melukis mural bagi melambangkan sokongan berkenaan.

"Mereka beritahu dia, ia tanda solidariti dan menyakinkannya bahawa tindakan tidak menentang India," kata Firdous.

Gull melukis wajah wanita berbalut bendera Palestin dan menitiskan air mati bersama kenyataan 'we are Palestin' (Kita adalah Palestin) dan gambar mural itu tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:45 AM