AHMAD Firdous
AHMAD Firdous

Kuala Lumpur: Paru-paru abang kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ahmad Firdous rosak akibat dijangkiti Covid-19.

Firdous yang pernah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor akibat virus itu seperti Siti Sarah sebelum ini berkata, bahagian kanan paru-parunya sudah rosak, manakala bahagian belakang paru-paru kiri turut dijangkiti.

"Ramai yang nak tahu keadaan sebenar saya. Maaf saya tidak dapat nak membalas satu persatu. Allah Maha Besar dan saya bersyukur dengan apa yang berlaku.

"Paru-paru kanan saya rosak. Paru-paru kiri saya kena sikit di bahagian belakang, tetapi alhamdulillah, saya boleh pulih Insya-Allah dengan izin Allah. Ambil masa mungkin tiga ke empat bulan.

"Tahap oksigen yang saya gunakan juga sudah dikurangkan dari 10 ke sembilan dan saya sangat bersyukur. Maaf saya tidak dapat balas, ada kala saya sihat, ada kala saya kurang tenaga," tulisnya di Facebook.

Perkembangan terbaru juga menyaksikan Firdous sudah dipindahkan ke Pusat Perubatan Pantai di Bangsar selepas menerima rawatan di Hospital Serdang, Selangor, sejak awal Ogos lalu.

Hubungan Firdous dengan Siti Sarah juga sangat akrab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:28 PM