Reuters

Jakarta: Pelukis mural, Iwan Sophian, menyembur cat merah merah pada tembok di sepanjang jalan di Depok di Jawa Barat.

Iwan, 41, atau lebih dikenali sebagai Awenk itu menghasilkan karya seni terbarunya itu dengan melukis wajah seorang kanak-kanak dengan warna bendera Palestin.

Seperti kebanyakan orang lain di seluruh dunia, Awenk juga terkejut dengan konflik Israel-Hamas, pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, dia berasa tidak sanggup melihat kemusnahan yang dipaparkan menerusi berita, pada setiap hari.

Justeru, atas dasar keprihatinan Awenk memutuskan untuk menggunakan karya seninya untuk menyatakan sokongannya kepada rakyat Palestin.

Sekumpulan kecil pelukis mural lain juga turut menyertai projek itu dengan mencipta pelbagai karya seni di sepanjang tembok rendah untuk menunjukkan solidariti mereka dengan rakyat Palestin dan menyeru gencatan senjata di Gaza.

Penduduk tempatan yang tinggal di kawasan itu menyokong kerja Awenk serta ada yang menyifatkan hasil seni itu menonjolkan situasi kemanusiaan di Gaza.

IWAN menghasilkan karya seni terbarunya itu dengan melukis wajah seorang kanak-kanak dengan warna bendera Palestin. FOTO Reuters
IWAN menghasilkan karya seni terbarunya itu dengan melukis wajah seorang kanak-kanak dengan warna bendera Palestin. FOTO Reuters

Dengan peningkatan kesedaran mengenai konflik melalui seni jalanan mereka, Awenk berkata, pelukis lain juga boleh menganjurkan kutipan dana bagi pihak yang diberi kuasa untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk di Gaza.

Sejak peperangan tercetus, Israel berkata, 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 240 orang dijadikan tebusan.

Susulan itu, Israel memulakan kempen menentang kumpulan Islam yang memerintah Gaza itu, berikrar untuk memusnahkan Hamas, tetapi tidak mengemukakan rancangan selepas perang mengenai siapa yang akan mentadbir Gaza.

Israel meletakkan 2.3 juta penduduk Gaza di bawah kepungan dan melakukan pengeboman dari udara.

Seorang pegawai kesihatan di Gaza berkata, dianggarkan 11,500 rakyat Palestin terbunuh, dengan kira-kira 40 peratus daripada mereka kanak-kanak, manakala lebih ramai lagi tertimbus di bawah runtuhan.

Buat masa ini, hanya sedikit bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza yang terkepung ketika tentera Israel meneruskan kempen ketenteraan mereka.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Palang Merah memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang menyelubungi kawasan kecil yang dikuasai Hamas dengan 2.3 juta orang itu, dengan kekurangan makanan, bahan api, air minuman dan ubat-ubatan semakin teruk.

ATAS dasar keprihatinan Awenk memutuskan untuk menggunakan karya seninya untuk menyatakan sokongannya kepada rakyat Palestin. FOTO Reuters
ATAS dasar keprihatinan Awenk memutuskan untuk menggunakan karya seninya untuk menyatakan sokongannya kepada rakyat Palestin. FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 3:15 PM