SYILING yang ditemui pada enjin pesawat. FOTO Agensi
SYILING yang ditemui pada enjin pesawat. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Penerbangan sebuah pesawat komersial di China terpaksa dibatalkan selepas seorang penumpang membaling syiling pada enjin pesawat.

Memetik portal Independent, pesawat itu dijadualkan terbang membawa 148 penumpang dari Weifang, wilayah Shandong ke pulau percutian Hainan, Haikou.

Namun, tindakan seorang lelaki yang dikenali sebagai Wang melemparkan syiling yang dibalut dengan kertas merah menghuru-harakan keadaan hingga penerbangan itu terpaksa dibatalkan.

Perkara itu disedari pekerja landasan lapangan terbang yang menemui sejumlah syiling di permukaan landasan sebelum memaklumkan kepada kru pesawat Beibu Gulf Airlines GX8814.

Menurut kenyataan syarikat, penerbangan itu dibatalkan dan ditunda sehingga keesokan harinya manakala lelaki itu ditahan polis.

Lapor Times Now Digital, lelaki itu mengaku melemparkan syiling itu pada enjin pesawat sebelum pesawat berlepas kononnya untuk meraih nasib baik.

Pada Januari tahun lalu, penumpang pertama yang melemparkan syiling di enjin pesawat diperintahkan mahkamah bagi membayar 117,431 yuan (RM74,358) kepada sebuah syarikat penerbangan China.

Sementara itu, pada Mac 2019, dua penumpang ditahan kerana perbuatan sama akibat kepercayaan memperoleh nasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 6:32 AM