ANGGOTA tentera berdiri di hadapan peta kawasan pencarian KRI Nanggala 402 yang hilang di perairan Bali sejak Rabu lalu. FOTO EPA.
ANGGOTA tentera berdiri di hadapan peta kawasan pencarian KRI Nanggala 402 yang hilang di perairan Bali sejak Rabu lalu. FOTO EPA.
Agensi

Jakarta: Pesawat P-8 Poseidon milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tiba di Bali, hari ini bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang hilang sejak Rabu lalu.

Jabatan Pertahanan negara itu sebelum ini menyatakan keprihatinan atas kehilangan kapal selam terbabit dan nasib 53 kru, malah bersedia memberi bantuan tambahan lain yang diperlukan.

"Indonesia adalah rakan kongsi strategik dan baik AS. Kita sedih membaca laporan mengenai kehilangan kapal selam negara itu dan ingatan serta doa kami buat semua anggota tentera laut Indonesia dan keluarga mereka," kata jurucakap Pentagon, John Kirby.

Semalam, Menteri Pertahanan AS Lloyd Austin dilapor berhubung dengan Menteri Pertahanan Indonesia RI Prabowo Subianto bagi menyatakan simpati terhadap kehilangan KRI Nanggala 402 dan menawarkan bantuan bagi melancarkan SAR termasuk aset bawah laut.

Pasukan penyelamat berdepan tekanan bagi mengesan kedudukan kapal selam buatan Jerman itu yang dikhuatiri semakin kehabisan bekalan oksigen.

Jurucakap Tentera Indonesia (TNI), Achmad Riad pada Khamis memaklumkan, pasukan penyelamat mempunyai masa sehingga hari ini sebelum kapal itu kehabisan oksigen sekali gus merisikokan kru.

Turut menghantar bantuan menyelamat adalah Malaysia, Singapura, India dan Australia.

Sekurang-kurangnya enam kapal, helikopter dan 400 anggota penyelamat terbabit dalam pencarian itu.

Berita berkaitan:

  • Tentera kesan isyarat objek kemagnetan tinggi

  • AS hantar aset bantu pencarian kapal selam Indonesia
  • Bekalan oksigen ada 72 jam lagi
  • Kapal selam Indonesia hilang
  • Kesan tumpahan minyak
  • TLDM bantu pencarian kapal selam Indonesia
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 11:52 AM