FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Baitulmaqdis: Israel mendedahkan akan menghantar vaksin Covid-19 yang tidak digunakan dalam kuantiti terhad kepada Palestin dan beberapa negara lain yang mengumumkan akan mengadakan kerjasama diplomatik dengan rejim itu.

Antara penerima vaksin itu termasuklah Honduras yang mengesahkan akan memindahkan kedutaan di sini.

AFP melaporkan, selain itu Republik Czech juga merancang untuk membuka pejabat di Baitulmaqdis dan mendakwa sudah menerima 5,000 dos Moderna dari Israel.

"Ini adalah hadiah daripada Israel untuk Republik Czech," kata ketua pejabat Perdana Menteri Andrej Babis, Tunde Bartha.

Kenyataan daripada pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memaklumkan Israel menerima banyak permintaan dari negara luar untuk membekalkan vaksin.

Bagaimanapun, Israel tidak menawarkan bantuan itu sehingga suntikan untuk rakyatnya selesai, menurut kenyataan itu.

"Namun sejak sebulan kebelakangan ini, sejumlah vaksin yang tidak digunakan akan diserahkan kepada pasukan perubatan pihak berkuasa Palestin dan beberapa negara lain yang mempunyai hubungan dengan negara lain," katanya.

Jurucakap Netanyahu enggan mengulas mengenai negara mana yang tersenarai dalam perjanjian pembahagian vaksin itu dan jumlah yang akan diberikan.

Israel menggalakkan negara lain untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara, tetapi kebanyakannya mengekalkan kedutaan di Tel Aviv.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 10:00 AM