JENAZAH Nasser Ghorab, 51, dibawa untuk dikebumikan di  al-Nusirat, Gaza selepas mati ditembak tentera Israel, semalam. - AFP
JENAZAH Nasser Ghorab, 51, dibawa untuk dikebumikan di al-Nusirat, Gaza selepas mati ditembak tentera Israel, semalam. - AFP

London: Turki mengarahkan duta Israel meninggalkan negara itu dan Israel membalas dengan mengarahkan konsul Turki pulang sebelum pemimpin kedua-dua negara saling berbalas kecaman, termasuk melalui media sosial.

Berikutan tindakan kejam Israel membunuh lebih 60 penduduk Palestin di Gaza yang membantah pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan melabelkan Israel sebagai negara apartheid dan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Turki sebelum ini, sudah memanggil pulang dutanya di Tel Aviv serta Washington.

Erdogan yang kini melawat Britain, melabelkan Israel sebagai ‘negara pengganas’.

AFP melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membalas melalui Twitter menyatakan Erdogan sebagai penyokong utama kumpulan pengganas Hamas ‘tidak disangsikan beliau pakar dalam keganasan dan pembunuhan’.

Erdogan membalas “Netanyahu ialah PM negara apartheid yang menduduki negara yang rakyatnya tidak berupaya melawan selama lebih 60 tahun dan mencabul resolusi PBB.

“Tangannya berlumuran dengan darah rakyat Palestin dan tidak boleh menyembunyikan jenayahnya dengan menyerang Turki.”

Selepas bertemu Perdana Menteri Britain, Theresa May, Erdogan memberi amaran sejarah ‘tidak akan memaafkan’ Israel atau Amerika kerana memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis.

“Amerika berkata ‘Aku kuat, jadi aku amat benar’. Tidak, kamu tidak benar,” kata Erdogan.

Sementara itu, Reuters melaporkan Pope Francis yang turut mengutuk pembunuhan penduduk Palestin di Gaza berkata, kematian itu membawa kepada lebih banyak keganasan dan merayu dialog diadakan untuk membawa keadilan dan keamanan di rantau Asia Barat.

“Saya amat sedih dengan kematian dan kecederaan dan saya berdoa kepada mereka yang menderita.

“Saya mengulangi bahawa penggunaan keganasan tidak akan membawa keamanan. Perang menyebabkan perang dan keganasan menyebabkan keganasan,” katanya kepada puluhan ribu hadirin di Dataran St Peter, Vatican City. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:22 AM