PENDAKI di Gunung Everest. FOTO fail AFP
PENDAKI di Gunung Everest. FOTO fail AFP
AFP

Kathmandu: Nepal membatalkan sijil puncak Everest terhadap dua lelaki warga India kerana berbohong kononnya mereka berjaya menakluk puncak tertinggi dunia itu, pada 2016.

Pegawai berkata, kedua-duanya dan seorang lagi ketua kumpulan mereka turut dilarang mendaki gunung di negara itu, selama enam tahun.

Narender Singh Yadav dan Seema Rani Goswami mendakwa, Jabatan Pelancongan Nepal mengeluarkan sijil mereka selepas berjaya menakluk puncak gunung tertinggi dunia itu pada musim bunga 2016.

Namun, kekecohan tercetus dalam kalangan pendaki gunung India selepas Yadav tersenarai dalam Anugerah Pengembaraan Tenzing Norgay yang berprestij tahun lalu.

Ia membuka kepada siasatan lanjut selepas terdapat keraguan sama ada mereka benar-benar berjaya sampai ke puncak Eeverest.

Jurucakap kementerian pelancongan, Tara Nath Adhikari berkata, siasatan dan soal siasat bersama pendaki lain mendedahkan dua lelaki itu sebenarnya tidak pernah sampai ke puncak gunung berkenaan.

"Mereka tidak dapat memberikan bukti pendakian mereka ke puncak, malah gagal kemukakan gambar mereka sampai ke puncak," katanya.

Berikutan itu, dua pendaki itu bersama ketua mereka, Naba Kumar Phukon dilarang daripada mendaki di gunung Nepal selama enam tahun, mulai Mei 2016.

Seven Summit Treks, yang menganjurkan pendakian kedua individu itu didenda AS$450 (kira-kira RM1,800), manakala seorang malim gunung turut didenda AS$85 (kira-kira RN343).

Gunung Everest dengan ketinggian 8,848 meter dan pendaki yang berjaya menakluk puncaknya memiliki kelebihan kerana dapat menggunakan pengiktirafan itu untuk bergelar penceramah motivasi dan penulis.

Sistem sedia ada memerlukan pendaki merakam gambar dan mengemukakan laporan daripada ketua ekspedisi bagi memperoleh sijil puncak Everest.

Pada 2016, pasangan warga India diharamkan mendaki gunung itu selama 10 tahun selepas memalsukan gambar mereka di puncak dengan teknik superimpose

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 11:31 AM