ANGGOTA keselamatan menyekat jalan. FOTO AFP
ANGGOTA keselamatan menyekat jalan. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Kerajaan India menyekat perkhidmatan internet selama dua hari di sempadan di luar ibu negara berikutan tunjuk perasaan petani.

Menurut pegawai, perkhidmatan itu digantung di daerah Singhu, Ghazipur dan Tikri iaitu pusat utama ribuan petani memenuhi jalan selama lebih dua bulan memprotes terhadap tiga undang-undang ladang kontroversi kerajaan persekutuan.

"Adalah perlu dan segera untuk memerintahkan penggantungan sementara perkhidmatan internet di wilayah Singhu, Ghazipur dan Tikri dan kawasan bersebelahan mereka di Wilayah Ibu Kota Nasional (NCT) Delhi dari jam 11 malam (waktu tempatan) pada 29 Januari lalu hingga 11 malam (waktu tempatan) pada 31 Januari," lapor pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri.

Menurut kementerian itu, langkah itu diambil untuk menjaga keselamatan masyarakat dan menghindari darurat umum.

Langkah sekatan itu adalah yang kedua dilakukan kerajaan India dalam tempoh seminggu.

Pada Selasa lalu, internet dihentikan di banyak wilayah Delhi sejurus perhimpunan traktor petani masuk ke ibu kota hingga mencetuskan pertempuran antara mereka dan pasukan kerajaan.

Seorang petani mati dan banyak yang lain termasuk polis cedera dalam pertempuran itu.

"Sekiranya pihak pentadbiran berfikir dengan menghentikan perkhidmatan internet, mereka akan dapat menghentikan pergerakan mereka, mereka akan keliru. Semakin mereka ingin membisikkan suara petani, semakin besar pula protes," kata jurucakap Kesatuan Bharatiya Kisan (petani), Rakesh Tikait.

Petani India dan pemimpin mereka lebih dua bulan mengadakan tunjuk perasaan terhadap undang-undang pertanian baharu memulakan mogok lapar menunjukkan kemarahan mereka terhadap Perdana Menteri, Narendra Modi dan kerajaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:00 AM