ANTARA penduduk yang berada di kawasan Ghazipur, New Delhi. FOTO: AFP
ANTARA penduduk yang berada di kawasan Ghazipur, New Delhi. FOTO: AFP
AFP

NEW DELHI: Timbunan sampah-sarap di New Delhi dijangka semakin tinggi daripada Taj Mahal pada tahun depan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menganggap ibu kota India itu paling tercemar di dunia.

Timbunan di bandar Ghazipur itu sebesar lebih 40 padang bola sepak dan bertambah hampir 10 meter setiap tahun dengan mengelurkan bau busuk hapak.

Jurucakap jurutera Delhi Timur, Arun Kumar berkata, timbunan itu kini mencecah lebih 65 meter dan dijangka mencapai 73 meter tahun depan, lebih tinggi dari Taj Mahal.

Ghazipur dibuka pada 1984 dan selepas mencapai kapasiti pada 2002 ia seharusnya ditutup. Tetapi ratusan lori sampah masih menghantar sampah-sarap ke bandar itu setiap hari.

“Kira-kira 2,000 tan sampah dibuang di Ghazipur setiap hari,” kata pegawai perbandaran Delhi yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pada tahun 2018, satu daripada bahagian bukit itu runtuh akibat hujan lebat yang mengorbankan dua orang. Ia menyebabkan kerajaan mengharamkan lambakan sampah tetapi langkah itu bertahan hanya beberapa hari kerana tiada alternatif lain.

TIMBUNAN sampah di bandar Ghazipur itu sebesar lebih 40 padang bola sepak.
TIMBUNAN sampah di bandar Ghazipur itu sebesar lebih 40 padang bola sepak.

Sementara itu, kebakaran sering berlaku di tempat pembuangan sampah akibat cetusan gas metana dan mengambil masa lama untuk dipadamkan.

Penyelidik kanan di Pusat Sains dan Alam Sekitar New Delhi, Shambhavi Shukla, berkata gas metana dari sampah sarap itu mampu meragut nyawa apabila bercampur dengan atmosfera.

Penduduk berkata bau sampah berkenaan membuatkan mereka sukar bernafas dan jatuh sakit malah kilang kitar semula di sebelah tempat pembuangan itu pula membebaskan gas beracun.

Hasil kajian baru-baru ini menyebut sampah-sarap itu boleh menyebabkan kanser dan masalah kesihatan lain sekiranya tinggal dalam jarak lima kilometer.

Tinjauan kerajaan yang dibuat antara 2013 dan 2017 melaporkan, Delhi menyaksikan 981 kematian akibat jangkitan pernafasan akut manakala lebih 1.7 juta penduduk mengalami jangkitan.

Menurut angka kerajaan, bandar di India antara pengeluar sampah terbesar di dunia, menjana 62 juta tan sisa sampah setiap tahun. Menjelang 2030, ia meningkat kepada 165 juta tan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 5:07 PM