PENUNJUK perasaan Jat makan di tengah lebuh raya Delhi-Haryana yang disekat mereka.
PENUNJUK perasaan Jat makan di tengah lebuh raya Delhi-Haryana yang disekat mereka.
Reuters

New Delhi: Rusuhan di utara India yang semakin meruncing kini turut menjejaskan bekalan air ke ibu negara, New Delhi yang mempunyai penduduk 20 juta orang selain memaksa sekolah dan kilang ditutup dalam pada tentera dikerah bagi membendung keganasan yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa.

Penunjuk perasaan menyerang rumah menteri-menteri wilayah, membakar stesen kereta api dan mogok duduk di atas landasan seterusnya menjejaskan ratusan kereta api.

Mereka juga mensabotaj peralatan mengepam air di loji rawatan yang menyalurkan air kepada kebanyakan tempat di Delhi.

Pembuat kereta terbesar di India, Maruti Suzuki India Ltd, terpaksa menggantung operasinya di beberapa kilang selepas bekalan komponen terganggu akibat rusuhan.

“Tiada bekalan air. Masih tiada harapan untuk mendapatkannya,” kata Timbalan Ketua Menteri Delhi, Manish Sisodia di Twitter.

Kerajaan tempatan mengarahkan sekolah ditutup dan air dicatu bagi memastikan hospital serta perkhidmatan kecemasan mempunyai bekalan mencukupi.

Jumlah kematian akibat protes dilaporkan 10 orang dengan kira-kira 150 cedera.

Sementara itu, di Bahadurgarh kira-kira 2,000 penunjuk perasaan menyekat persimpangan di lebuh raya mengakibatkan lalu lintas terjejas. Kedai turut ditutup.

Petani, Rajendra Ahlavat, 59, berkata: “Kami datang untuk mati. Kami akan terus berjuang sehingga kerajaan tunduk dengan desakan kami.”

Kerajaan pusat menghantar 4,000 tentera dan 5,000 separa tentera ke kawasan sensitif, dengan perkhidmatan Internet mudah alih turut disekat, selain perintah berkurung dilaksanakan di beberapa daerah serta jalan raya ditutup.

Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh menemui pemimpin Jat untuk membincangkan isu dihadapi masyarakat itu.

Rusuhan di Haryana oleh kasta rendah Jat itu berpunca daripada persaingan yang semakin sengit untuk mendapatkan pekerjaan dan pendidikan di India, yang penduduknya dijangka melebihi populasi China dalam tempoh satu dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 12:45 PM