Cuaca buruk memaksa sejumlah penyelam untuk menghentikan sementara usaha mencari pita rakaman suara kokpit pesawat Sriwijaya Air. FOTO AFP
Cuaca buruk memaksa sejumlah penyelam untuk menghentikan sementara usaha mencari pita rakaman suara kokpit pesawat Sriwijaya Air. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Cuaca buruk memaksa sejumlah penyelam untuk menghentikan sementara usaha mencari pita rakaman suara kokpit pesawat Sriwijaya Air.

Kedua-dua kotak hitam dapat memberikan petunjuk mengapa Sriwijaya Air Boeing 737-500 terjunam dari ketinggian 3,000 meter dalam waktu kurang dari satu minit sebelum terhempas ke Laut Jawa sejurus berlepas dari lapangan terbang.

Penyelam berjaya membawa perakam data ke permukaan pada hari Selasa, dengan usaha kini tertumpu untuk mencari perakam suara di dasar laut yang penuh dengan serpihan pesawat.

Penemuan itu dibuat selepas pasukan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB) bersedia untuk menyertai siasatan di ibu negara, bersama dengan kakitangan dari Boeing, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan pengeluar enjin jet GE Aviation.

Sementara puluhan kapal dan helikopter mencari serpihan pesawat, keadaan yang buruk memaksa penyelam untuk menghentikan sementara pemburuan mereka.

"Ia dihentikan kerana cuaca buruk. Semua penyelam kini dalam keadaan bersiap sedia," kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat, Yusuf Latif.

Sebuah kenderaan bawah laut yang dikendalikan dari jarak jauh masih melakukan carian di bahagian dasar laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:26 PM