JOKOWI sedia jadi yang pertama mendapatkan suntiikan vaksin. FOTO AGENSI
JOKOWI sedia jadi yang pertama mendapatkan suntiikan vaksin. FOTO AGENSI
AFP

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata bahawa beliau akan menjadi individu pertama di republik berkenaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengumuman Jokowi itu dibuat bagi membendung penyebaran maklumat salah mengenai Covid-19 ketika ia berdepan gelombang baharu dengan jumlah 630,000 kes jangkitan dan 19,000 kematian setakat ini.

"Vaksin Covid-19 ini akan diberikan secara percuma kepada semua warga Indonesia," katanya dalam video yang dikongsi di akaun Twitternya.

Sebelum ini, kerajaan mengatakan bahawa hanya kakitangan kesihatan, warga tua dan individu tertentu saja diberikan vaksin secara percuma.

Bagaimanapun, Jokowi tidak memaklumkan mengenai tarikh ia akan mendapatkan suntikan itu atau bila program suntikan besar-besaran akan dilakukan.

Namun, ia berbesar hati untuk menjadi yang pertama mendapatkan suntikan itu bagi membuktikan ia adalah selamat.

"Tidak ada alasan orang ramai tidak mendapatkan vaksin itu atau meragui keselamatannya," katanya.

Indonesia sudah menandatangani perjanjian bagi mendapatkan 350 juta dos vaksin dari beberapa syarikat farmaseutikal antarabangsa termasuk AstraZeneca dan Sinovac.

Perjanjian semasa bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung keperluan 270 juta penduduknya memandangkan ia memerlukan dua dos bagi setiap individu.

Indonesia dijangka menerima penghantaran pertama sebanyak 1.2 juta dos vaksin dari Sinovac bulan ini, diikuti 1.8 juta dos lagi pada Januari 2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 9:10 PM