KAKITANGAN Kesihatan sedang menyediakan vaksin CanSino di pusat vaksinasi di Santiago, Chile. FOTO AFP
KAKITANGAN Kesihatan sedang menyediakan vaksin CanSino di pusat vaksinasi di Santiago, Chile. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia akan menerima bekalan 3.5 juta dos vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China secara berperingkat, bermula bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata perolehan vaksin itu dibuat dalam dua kategori iaitu produk siap sebanyak 500,000 dos dan selebihnya penghantaran secara pukal untuk diisi dan dibungkuskan oleh syarikat tempatan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio).

Melalui perolehan vaksin CanSino yang juga dos tunggal, sejumlah 3.5 juta populasi di negara ini akan mendapat manfaat, katanya.

Dr Adham berkata vaksin CanSino akan digunakan terutamanya di kawasan pedalaman dan kawasan di mana penerima sukar untuk datang menerima suntikan sebanyak dua kali seperti vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

"Vaksin dos tunggal ini juga boleh digunakan bagi tujuan vaksinasi warga asing yang berada di Malaysia," katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan SolBio untuk mengilang vaksin atau secara fill and finish, di sini hari ini.

Melalui perjanjian itu, SolBio akan mengendalikan proses pembotolan vaksin sebanyak tiga juta untuk dibekalkan kepada kerajaan.

Namun, kata Dr Adham syarikat tersebut masih perlu mematuhi semua peraturan berkaitan pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh melaksanakan pembekalan vaksin.

"Sekiranya syarikat gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran yang diwajibkan, perjanjian tersebut boleh dibatalkan kerana kerajaan menitikberatkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 3:39 PM