Sebuah klinik di ibu negara yang giat mempromosikan vaksin Covid-19 secara berbayar, suntikan imunisasi jenis Sinovac. FOTO NSTP
Sebuah klinik di ibu negara yang giat mempromosikan vaksin Covid-19 secara berbayar, suntikan imunisasi jenis Sinovac. FOTO NSTP
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Kerajaan belum pernah meluluskan penjualan vaksin Covid-19 Sinovac, CoronaVac SARS-CoV-2 kepada klinik swasta.

Menjawab persoalan mengenai sebuah klinik di ibu negara yang kini giat mempromosikan jualan vaksin Sinovac, jurucakap Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, setakat ini untuk penjualan oleh pihak swasta tidak diluluskan lagi.

Nada sama turut diperjelaskan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) bahawa pihaknya tidak menandatangani sebarang perjanjian bekalan dan pengedaran dengan klinik dan tidak menyedari promosi vaksinasi klinik yang berkenaan.

Menurut jurucakapnya, sebarang keputusan mengenai dos ketiga atau dos penggalak (booster) vaksin pula akan dibuat oleh kerajaan yang belum pun mengumumkannya.

"Kami juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai promosi klinik yang berkenaan berhubung suntikan dos ketiga vaksin di klinik itu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro menerima aduan awam mengenai sebuah klinik di ibu negara yang menawarkan suntikan vaksin Sinovac dengan mempromosikannya di Facebook (FB).

Carian maklumat Harian Metro berdasarkan soal jawab antara pentadbir FB klinik itu dan netizen menunjukkan beberapa harga ditawarkan untuk suntikan vaksin Covid-19, Sinovac.

Jawapan pentadbir mengenai harga adalah RM350 untuk dua suntikan Sinovac, RM175 tambahan dos ketiga Sinovac dan RM120 untuk ujian antibodi.

Untuk rekod, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd diberi peranan menguruskan pengagihan vaksin Covid-19 dari China CoronaVac SARS-CoV-2 yang dihasilkan oleh Sinovac.

Berdasarkan promosi di klinik yang berkenaan di FB, tertera dakwaan pihak klinik bahawa mulai Ogos 2021 kerajaan membenarkan pembelian vaksin di klinik.

"Kami amat berbesar hati untuk memberitahu bahawa kami juga akan mengambil bahagian dalam program vaksin berbayar sendiri.

"Sekiranya anda berminat, sila isi maklumat di borang Google di bawah. Kakitangan kami akan menghubungi anda.

"Jenis vaksin, Sinovac (China)," itu antara terjemahan promosi yang disiarkan di FB klinik berkenaan.

Harian Metro turut menghubungi talian telefon yang tertera dan kakitangan yang menyambut panggilan memaklumkan bahawa vaksin Sinovac belum tiba dan hanya akan sampai minggu hadapan.

Kata kakitangan klinik berkenaan iaitu seorang wanita, jika berminat boleh buat tempahan nama terlebih dahulu sama ada isi di borang Google atau maklumkan butiran diri

"Untuk sekarang belum sampai (bekalan vaksin Sinovac di klinik itu). Kena booking (tempah) dahulu. Mungkin minggu depan sampai.

"Nanti apabila sudah sampai, kita akan hubungi semula. Hanya bagi nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk kami hubungi semula," katanya sambil menjelaskan tiada vaksinasi secara terus atau 'walk-in' dan giliran vaksin hanya menerusi tempahan.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang memperhalusi isu itu.

"JKJAV sedang memperhalusi dasar penjualan vaksin oleh pihak swasta kepada orang awam memandangkan vaksin adalah di bawah kawal selia dan tertakluk di bawah Akta Racun 1952.

"Sebarang penjualan dan pembekalan kepada pihak lain perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:27 PM