GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Shanghai: Selepas puluhan tahun melaksanakan dasar anak tunggal, China kini menyedari bahawa jumlah rakyatnya yang berusia tua agak tinggi.

Setakat penghujung tahun lalu, rakyat China berusia 60 tahun dan ke atas berjumlah 254 juta orang mewakili 18.1 peratus daripada keseluruhan populasi.

Angka itu dijangka terus meningkat kepada 300 juta menjelang 2025 dan 400 juta pada 10 tahun berikutnya, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penjagaan sosial dan kesihatan republik itu.

Bagi menangani peningkatan usia dalam kalangan masyarakat, China bercadang memperkenalkan pelan khas bagi tempoh lima tahun bagi menggalakkan kadar kelahiran di republik itu.

Pelan bermula 2021 hingga 2025 itu akan menawarkan beberapa mekanisme berupa insentif.

Berdasarkan laporan China Daily, insentif itu antara lain merangkumi sokongan dasar dan kewangan lanjut kepada pasangan untuk mempunyai lebih ramai anak.

Naib Presiden Persatuan Populasi China, Yuan Xin berkata, pelbagai mekanisme penggalak ke arah usaha sedemikian akan direncana dan ditawarkan.

"Dasar seperti menambah baik faktor kesuburan, kualiti tenaga kerja dan struktur populasi akan diperkenalkan," katanya.

China sebelum ini memperkenalkan dasar anak tunggal yang mengundang kontroversi pada 1978 kerana bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Percaturan sedemikian turut dilaksana bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang dikatakan terencat berikutan peningkatan mendadak populasi di China, khususnya di kawasan pedalaman.

Negara dengan penduduk teramai itu bagaimanapun memutuskan untuk memberi kelonggaran terhadap dasar berkenaan pada 2016, dengan membenarkan setiap pasangan mempunyai anak kedua.

Pendekatan itu diambil selepas China merekodkan pertambahan generasi berusia dalam kalangan rakyatnya, namun pakar berpandangan dasar mengehadkan kadar kelahiran sepatutnya dimansuhkan.

Berdasarkan perangkaan semasa, pakar demografi mengunjurkan golongan yang bekerja bakal menyusut sebanyak 200 juta, menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:00 AM