KERAJAAN China mungkin menimbang semula dasar dua anak. FOTO/AGENSI
KERAJAAN China mungkin menimbang semula dasar dua anak. FOTO/AGENSI
AFP

BEIJING: China bakal membatalkan dasar dua anak, dengan akhbar tempatan memetik rang kod sivil yang akan mengubah peraturan perancangan keluarga kontroversi selama beberapa dekad itu.

Kod itu akan menamatkan dasar yang dikuat kuasakan menerusi denda tetapi juga dikenali kerana kes pengguguran paksa dan pemandulan di negara paling ramai penduduk di dunia itu.

Akhbar Procuratorate Daily melaporkan, kod draf itu tidak merujuk kepada ‘perancangan keluarga’, dasar terkini yang mengehadkan pasangan suami isteri memiliki tidak lebih daripada dua anak.

Laporan tidak menunjukkan sama ada dasar baru akan menaikkan had atau membenarkan bilangan anak tanpa had.

Kod draf sivil itu, yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat minggu ini, dijangka siap menjelang 2020.

Parti Komunis mula menguat kuasa dasar satu anak pada 1979 untuk melambatkan pertumbuhan penduduk.

Ia dinaikkan kepada dua anak pada 2016 ketika negara itu berusaha mengatasi bilangan warga emas dalam kalangan 1.4 bilion rakyatnya.

Kebimbangan memuncak bahawa pertambahan warga tua dan kekurangan tenaga kerja akan melembapkan ekonomi China, manakala ketidakseimbangan jantina membawa kepada masalah sosial.

Kadar kelahiran tidak meningkat banyak seperti dijangka sejak dasar dua anak diperkenalkan, dan ada spekulasi kerajaan akan melonggarkan had itu.

“Memang jelas kerajaan amat terganggu dengan kadar kelahiran rendah dan kegagalan menghasilkan lebih banyak kelahiran dengan melonggarkan dasar satu anak,” kata penulis ‘Betraying Big Brother: The Feminist Awakening in China, Leta Hong Fincher.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 9:45 AM