GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Baitulmaqdis: Hampir 3,500 penduduk Palestin termasuk wanita dan anak-anak meninggal dunia dalam serangan tentera rejim Israel di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Agensi berita Turki, Anadolu yang memetik laporan Middle East Monitor melaporkan Netanyahu, 70, adalah individu paling lama menjadi perdana menteri Israel.

Sepanjang lebih sedekad berkhidmat sebagai pemimpin rejim Isreal, dia bertanggungjawab terhadap dua insiden serangan berdarah di Semenanjung Gaza yang kini dikuasai Palestin.

Dua operasi ketenteraan utama Netanyahu adalah Operation Pillar of Cloud pada 2012 dan Operation Protective Edge pada 2014 ke Semenanjung Gaza.

Menurut kumpulan pemantau hak asasi manusia Israel, B'Tselem, hampir 3,500 penduduk Palestin maut dalam serangan pasukan Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak 2009.

"Daripada jumlah itu, 799 mangsa adalah kanak-kanak, manakala 342 mangsa lagi adalah wanita," katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Menurut data B'Tselem, 167 penduduk Palestin meninggal dunia dalam serangan Israel di Gaza, pada 2012.

Selain itu, 2014 dilihat sebagai tahun paling berdarah dalam sejarah Palestin apabila menyaksikan serangan dilancarkan Israel di Gaza pada 8 Julai lalu di bawah kepimpinan Netanyahu.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), tentera Israel menyerang Gaza menerusi 6,000 serangan udara, hampir 50,000 kereta kebal dan peluru artileri selama 50 hari.

Dalam serangan itu, 2,251 warga Palestin termasuk 551 kanak-kanak dan 299 wanita terkorban.

Lebih 11,000 orang cedera dan lebih 1,500 kanak-kanak menjadi anak yatim piatu.

Pihak berkuasa Palestin berkata, 28,366 rumah rosak akibat serangan udara berkenaan dengan 3,329 daripadanya musnah teruk.

Serangan itu turut menyebabkan 65,000 penduduk Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dan infrastruktur di wilayah itu musnah teruk.

Hari ini, Semenanjung Gaza dikenakan sekatan udara, darat dan air.

Pada masa sama, Israel masih meneruskan pemilikan tanah secara paksa di Tebing Barat dengan membina lebih banyak penempatan haram Yahudi.

Sementara itu, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian bagi memulihkan hubungan dengan Israel.

Sebelum ini, Israel sudah menandatangani perjanjian damai dengan dua negara Arab, Mesir dan Jordan, masing-masing pada 1979 dan 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 5:59 AM