ANTONIO Guterres bercakap kepada media selepas melawat sempadan Rafah pada 23 Mac. FOTO Reuters
ANTONIO Guterres bercakap kepada media selepas melawat sempadan Rafah pada 23 Mac. FOTO Reuters
Reuters

New York: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat menggesa siasatan bebas terhadap kematian 196 pekerja bantuan yang terbunuh di Semenanjung Gaza sepanjang perang Israel-Hamas.

Katanya, beliau juga berharap Israel meningkatkan akses bantuan dengan cepat dan berkesan.

Kemarahan global terhadap krisis kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki seramai 2.3 juta penduduk itu memuncak selepas tiga serangan udara Israel pada Isnin membunuh tujuh orang yang bekerja untuk badan amal makanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), World Central Kitchen.

Tentera Israel pada Jumaat berkata siasatannya terhadap serangan ke atas konvoi bantuan mendapati terdapat kesilapan serius dan pelanggaran prosedur.

Guterres berkata, kerajaan Israel sudah mengakui kesilapan.

"Tetapi masalah utama bukanlah siapa yang membuat kesilapan, ia adalah strategi dan prosedur ketenteraan sedia ada yang membolehkan kesilapan itu berlaku berlipat kali ganda.

"Memperbaiki kegagalan itu memerlukan siasatan bebas dilakukan dan perubahan yang bermakna serta boleh diukur di lapangan," katanya tanpa menyatakan siapa yang harus menjalankan siasatan itu.

"Seramai 196 pekerja kemanusiaan terbunuh dan kami ingin tahu mengapa setiap seorang daripada mereka dibunuh," kata Guterres.

"Seramai 15 anggota Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan mengenai kebuluran yang berlaku di Gaza dan serangan ke atas pekerja bantuan.

"Sekiranya kami bertemu di utara Gaza, semua 15 daripada kami tidak akan makan," kata Duta Besar PBB di Slovenia. Samuel Zbogar.

"Seramai 10 daripada kami akan pergi sepanjang hari dan malam tanpa makan. Separuh daripada kita sangat memerlukan bantuan kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, pegawai bantuan kanan PBB Ramesh Rajasingham ketika berucap menyeru semua negara untuk membantu menghentikan pelanggaran undang-undang kemanusiaan - melalui tekanan diplomatik dan ekonomi, menyelaraskan eksport senjata dengan mematuhi peraturan perang, dan kerjasama untuk mendapat kebebasan,

Duta Besar PBB Britain, Barbara Woodward pula berkata pekerja bantuan tidak boleh menjadi sasaran.

Katanya, Israel mesti melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi dan memastikan keselamatan mereka supaya boleh menyampaikan bantuan kemanusiaan yang mampu menyelamatkan nyawa dengan segera.

Dalam pada itu, Israel sudah meluluskan pembukaan semula lintasan Erez ke utara Gaza dan penggunaan sementara pelabuhan Ashdod di selatan Israel selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menuntut langkah untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza.

"Apabila pintu bantuan ditutup, pintu kelaparan dibuka. Lebih separuh penduduk - lebih sejuta orang berdepan kelaparan yang teruk.

"Kanak-kanak di Gaza hari ini mati kerana kekurangan makanan dan air.

"Ini tidak dapat difahami, dan boleh dielakkan sepenuhnya," kata Guterres kepada pemberita.

Guterres berkata, beliau sangat risau dengan laporan bahawa tentera Israel menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu mengenal pasti sasaran pengeboman di Gaza.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan AI digunakan untuk mengenal pasti pelampau dan sasaran yang disyaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 9:43 AM