AMADEA. FOTO AFP
AMADEA. FOTO AFP
Reuters

New York: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata, ia membelanjakan lebih daripada AS$7 juta (kira-kira RM33.4 juta) setahun untuk menyelenggara kapal layar mewah yang dirampasnya daripada oligarki Rusia.

AS menggesa hakim untuk membenarkan ia melelong kapal itu sebelum pertikaian mengenai pemilikannya diselesaikan.

Pihak berkuasa di Fiji merampas Amadea sepanjang 106 meter itu dianggarkan bernilai AS$300 juta (kira-kira RM1.4 bilion) pada Mei 2022.

Menurut waran AS, ia dimiliki oleh Suleiman Kerimov, seorang bilionair yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS pada 2014 dan 2018. Rampasan itu sebagai tindak balas terhadap Rusia berkaitan aktiviti di Syria dan Ukraine.

Usaha melelong kapal layar itu dicabar oleh Eduard Khudainatov, yang mengetuai syarikat minyak dan gas negara Rusia, Rosneft, dari 2010 hingga 2013.

Khudainatov mendakwa mempunyai pemilikan Amadea, dan berkata, ia tidak boleh dilucuthak kerana beliau tidak dikenakan sekatan.

Dalam pemfailan mahkamah pada lewat Jumaat, pendakwa raya persekutuan di Manhattan memberitahu Hakim Daerah AS, Dale Ho bahawa bil penyelenggaraan bulanan purata AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta) untuk Amadea adalah 'berlebihan', dan membenarkan ia untuk dilelong.

Mereka juga berkata rundingan untuk meminta Khudainatov membayar untuk penyelenggaraan kapal layar itu, gagal.

Pendakwa raya dalam pemfailan mahkamah sebelum ini berkata, Khudainatov bertindak sebagai 'pemilik bayangan' Amadea untuk melindungi peranan Kerimov, dan bahawa bayaran penyelenggaraan adalah penting untuk mengekalkan nilai kapal layar itu.

Khudainatov mempunyai masa sehingga 23 Februari untuk menjawab permintaan pendakwa raya. Dalam satu kenyataan, peguamnya berkata, usul untuk melelong kapal itu adalah 'pramatang' dan menggesa Dale Ho menolak cadangan itu.

Rampasan itu berlaku ketika Washington meningkatkan sekatan terhadap orang yang rapat dengan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menekan Moscow menghentikan perangnya terhadap Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 2:59 PM