KAPAL layar mewah, Axioma. FOTO fail Reuters
KAPAL layar mewah, Axioma. FOTO fail Reuters
Reuters

Gibraltar: Kapal layar mewah bernilai bernilai AS$75 (RM336.56 juta) yang dikaitkan dengan jutawan keluli Rusia dilelong di Gibraltar, pada Selasa.

Sumber mahkamah memberitahu, Axioma disita pihak berkuasa Gibraltar pada Mac selepas bank Amerika Syarikat, JP Morgan mendakwa, pemiliknya, Dmitry Pumpyansky mengingkari syarat pinjaman berjumlah AS$20 juta (RM89.75 juta).

Kapal sepanjang 72.5 meter itu dilelong Mahkamah Admiralti Gibraltar melalui sistem bidaan tertutup untuk dihantar secara elektronik menjelang tengah hari Selasa, kata jurucakap mahkamah.

Mahkamah berkata, sebanyak 63 bidaan dikemukakan untuk pertimbangan dengan proses pemilihan dijangka mengambil masa 10 hingga 14 hari.

Kapal itu boleh memuatkan 12 orang dalam enam kabin dan mempunyai kolam renang, spa, pawagam dan peralatan untuk rekreasi air.

Menurut kertas mahkamah yang dilihat Reuters, JP Morgan meminjamkan 20.5 juta euro (RM91.53 juta) kepada Pyrene Investments Ltd yang disenaraikan di British Virgin Islands yang dimiliki Furdberg Holding Ltd.

Pemilik Furdberg ialah Pumpyansky, yang berperanan sebagai penjamin bagi pinjaman itu.

Pyrene Investments dikatakan ingkar pada syarat pinjaman selepas Pumpyansky pada 4 Mac memindahkan sahamnya dalam Furdberg kepada pihak ketiga.

Lelaki berusia 58 tahun itu, yang mempunyai anggaran kekayaan AS$2 bilion (RM8.97 bilion) menurut majalah Forbes, disekat oleh Britain dan Kesatuan Eropah sejurus selepas pencerobohan Ukraine.

Sehingga Mac lalu, Pumpyansky ialah pemilik dan pengerusi pengeluar paip keluli OAO TMK, pembekal kepada syarikat tenaga Rusia Gazprom.

Syarikat itu berkata, beliau sudah meletak jawatan daripada syarikat itu.

Axioma ialah kapal layar mewah pertama dirampas yang dilelong sejak Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia yang berkuasa berikutan pencerobohan Februari ke atas Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 11:56 AM