DATUK Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Farizul Hafiz Awang.
DATUK Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pelbagai kemungkinan berhubung dakwaan kejadian cubaan culik seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Landak, di Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu hanya salah faham berikutan siasatan awal mendapati kereta Proton Wira berwarna merah dipandu seorang lelaki dilaporkan dalam kejadian itu melalui laluan kampung yang terlalu sempit.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menyiasat segala kemungkinan wujudnya unsur cubaan culik dalam kejadian ini.

"Berdasarkan siasatan terkini, kenderaan dipandu lelaki yang disyaki suspek dalam kes ini hanyalah seorang individu dan tiada penumpang lain.

"Malah laluan yang dituju kenderaan berkenaan adalah jalan mati dan sukar sekiranya dia ingin melakukan penculikan dan berpatah balik serta mungkin dia berdepan risiko ditahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada salah faham dalam kejadian ini dan beliau menunggu siasatan dilengkapkan oleh pegawai penyiasat.

"Faktor laluan berkenaan yang sempit menyebabkan pemandu kenderaan itu seolah-olah cuba menguis tangan kanak-kanak terbabit bagi mengelak dia rapat ke tengah jalan sehingga berlakunya kejadian kemalangan.

"Selain itu kita juga turut mengambil kira faktor mengapa lelaki yang disyaki suspek itu tidak memberhentikan kenderaan dan membunyikan hon kepada dua kanak-kanak terbabit," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya masih menyiasat segala kemungkinan yang ada termasuk mengesan kenderaan terbabit selepas nombor pendaftaran kereta tidak dapat dikesan oleh dua kanak-kanak yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi sehingga mewujudkan rasa suasana tidak selamat dikalangan masyarakat sehinggalah siasatan selesai dijalankan.

Dalam kejadian jam 7.15 petang itu seorang kanak-kanak yang dikatakan mangsa cuba ditarik oleh pemandu kereta Proton Wira, sebelum seorang rakannya berusia 12 tahun bertindak menyelamatkannya dengan menarik tangan mangsa.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mereka yang sedang berjalan untuk pulang ke rumah selepas bermain di padang SK Jeram Landak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 1:59 PM