SWEATER merah ikonik yang dipakai Puteri Diana selepas pertunangannya dengan Putera Charles berjaya dilelong dengan nilai AS$1.1 juta (RM5.15 juta). FOTO AFP
SWEATER merah ikonik yang dipakai Puteri Diana selepas pertunangannya dengan Putera Charles berjaya dilelong dengan nilai AS$1.1 juta (RM5.15 juta). FOTO AFP
AFP

New York: Sweater (baju sejuk) merah ikonik yang dipakai Puteri Diana selepas pertunangannya dengan Putera Charles dilelong dengan pada harga AS$1.1 juta (RM5.15 juta).

Sotheby's mengumumkan, pakaian menampilkan gambar biri-biri kecil itu dijual pada acara lelongan Sotheby's, semalam.

Pakaian itu berjaya dijual pada harga AS$1.1 juta termasuk yuran dan komisen, selepas mendapat sambutan hebat daripada pembida dalam talian.

Jumlah itu lebih 10 kali ganda daripada anggaran awal Sotheby's, iaitu antara AS$50,000 (RM234,240) hingga AS$80,000 (RM374,784).

Disebabkan banyak bidaan, pusat lelong itu melanjutkan jualan beberapa minit dengan harga melonjak daripada AS$190,000 (RM890,112) kepada AS$1.1 juta, dalam 15 minit terakhir.

CORAK pada sweater itu. FOTO AFP
CORAK pada sweater itu. FOTO AFP

Menurut Sotheby's, ia baju sejuk paling mahal pernah dijual di lelongan dan nilai pakaian itu harga tertinggi yang pernah dibayar pada acara lelongan untuk pakaian milik Puteri Diana.

Ia mengatasi harga gaun baldu yang dipakai Puteri Diana yang dilelong pada harga lebih AS$604,800 (RM2,833,367), pada Januari lalu.

Sweater itu dicipta pereka yang tidak dikenali pada ketika itu iaitu Sally Muir dan Joanna Osborne.

Puteri Diana dilaporkan pertama kali memakai pakaian itu yang bercorakkan seekor kambing hitam di antara barisan bebiri putih, ketika menonton Putera Charles beraksi dalam permainan polo pada Jun 1981.

Peristiwa itu sebulan sebelum mereka berkahwin.

Selepas bahagian pergelangan tangannya rosak, setiausaha sulit Puteri Diana, Oliver Everett menulis kepada Joanna bertanyakan sama ada ia boleh dibaiki, sebelum baju itu dihantar semula.

Beberapa bulan kemudian, Diana menerima baju ganti yang baharu yang dipakainya seperti dalam satu foto pada 1983.

Sementara itu, Osborne pula menemui versi asal baju itu di dalam kotak di lotengnya, pada Mac lalu.

Turut dilelong bersama ialah dua pucuk surat Everett kepada Osborne

Sweater itu sangat ikonik sehingga muncul (melalui replika) dalam musim keempat drama Netflix, The Crown yang mengisahkan sejarah keluarga diraja Britain, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 11:25 AM