GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mashitah Abdul Mutalib dan Dr Nur Al-Farhain Kamaruzaman

Berita kemalangan kanak-kanak empat tahun yang ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat 29 pada 16 November lalu amat meruntun hati masyarakat. Lebih menyayat hati, keesokannya, insiden yang hampir sama melibatkan kanak-kanak lima tahun terjatuh dari tingkat 16 turut dilaporkan.

Kedua-dua kemalangan ini dipercayai membabitkan keadaan anak-anak ini ditinggalkan bersendirian di rumah atau tidak berada bawah pengawasan penuh orang dewasa. Kedua-dua insiden bukanlah kes terpencil, malah sentiasa menghiasi dada akhbar sepanjang tahun.

Sebagai contoh, jika diimbau kembali, pada 19 Februari 2020, seorang bayi berusia 10 bulan maut dalam kebakaran di rumah ketika ditinggalkan sendirian oleh ibunya yang keluar ke pejabat pos.

Secara umumnya, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan keselamatan anak di bawah jagaannya. Tanggungjawab dan kewajipan menjaga keselamatan anak-anak ini adalah antara maqasid terpenting yang dipelihara oleh syarak iaitu maqasid menjaga nyawa (hifz an-nafs).

Selain itu, tanggungjawab ini juga ditegaskan melalui sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta itu. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya." (HR Muslim)

Dalam konteks menjaga keselamatan anak, usaha pengurusan risiko keselamatan bagi mengelakkan kemalangan sebegini berulang perlulah dilaksanakan oleh ibu bapa atau penjaga. Usaha pengurusan risiko ini selaras dengan kaedah fiqh yang digariskan oleh ulama iaitu kemudaratan perlu dicegah seboleh mungkin.

Antara langkah pencegahan utama yang perlu diambil adalah tidak sesekali meninggalkan anak tanpa pengawasan di rumah, pemasangan jeriji besi pada tingkap dan pintu gelangsar dan susun atur perabot yang selamat dan mesra kanak-kanak seperti menjauhkan kedudukan kerusi atau katil berhampiran tingkap.

Dari sudut peruntukan undang-undang pula, isu ini membabitkan isu pengabaian dan kecuaian ibu bapa. Walaupun secara amnya, tiada ibu bapa yang menginginkan kejadian sebegini menimpa anak-anak terutamanya yang masih kecil, namun kejadian ini bukan pertama seumpamanya berlaku di negara ini.

Di manakah silapnya? Adakah tiada peruntukan undang-undang di Malaysia dalam menangani isu ini atau bagaimana?

Akta Kanak- Kanak 2001 [Akta 611] khususnya dalam seksyen 31 telah menggariskan tentang penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak. Seksyen 31(1)(a) menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

Seksyen ini tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu kepada ibu bapa tetapi kepada skop yang lebih luas iaitu kepada sesiapa yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berkenaan. Jika didapati bersalah mengikut seksyen ini, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 33 pula lebih jelas menyentuh tentang kesalahan ibu bapa, penjaga atau individu yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak itu apabila membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan. Bagaimanapun, beberapa elemen penting seperti, meninggalkan dalam suatu tempoh yang tidak berpatutan, dalam keadaan yang tidak berpatutan perlu dibuktikan untuk mensabitkan kesalahan ini ke atas ibu bapa, penjaga atau individu yang memelihara kanak-kanak berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan mengikut seksyen ini, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Oleh yang demikian, peruntukan undang-undang dalam isu pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak sudah jelas diperuntukkan dalam Akta 611. Namun, tidak banyak kes mahkamah berkaitan kecuaian yang membabitkan ibu bapa di Malaysia yang boleh dirujuk.

Salah satunya adalah kes Lim Jeh Haur v Nicholas Thomas Philip & Mathew Thomas Philip (2019) 1 LNS 1351 (HC) yang melibatkan kanak-kanak berumur 10 tahun yang dilanggar oleh sebuah kereta ketika berbasikal di kawasan perumahannya.

Bagaimanapun, masyarakat perlu sentiasa cakna bahawa peranan undang-undang bukan semata-mata hanya untuk menghukum apabila sesuatu kejadian yang tidak diingini sudah berlaku. Pendekatan reaktif ini perlu tetapi ini bukanlah satu-satunya tujuan kenapa undang-undang wujud.

Undang-undang juga berperanan sebagai alat pencegahan untuk menimbulkan rasa gerun dan bersalah agar perbuatan salah itu dijauhi dan tidak dilakukan. Selain daripada naluri kemanusiaan untuk sentiasa berwaspada dan berasa bersalah untuk meninggalkan anak di rumah tanpa pengawasan, pengetahuan dan kesedaran bahawa mereka bakal berdepan tindakan undang-undang juga boleh menjadi langkah pencegahan untuk mengelakkan lebih ramai ibu bapa mengambil mudah soal penjagaan anak-anak.

Oleh itu, pendedahan dan pendidikan undang-undang melalui kaedah yang lebih mesra masyarakat perlu lebih diperluaskan di negara ini. Pemberitahuan dan kempen
di media umpamanya, perlu sentiasa menyentuh bahawa menjadi kesalahan dari segi undang-undang jika meninggalkan anak tanpa pengawasan.

Masyarakat perlu sentiasa dididik untuk tidak menormalisasikan dan memandang mudah isu ini.


Penulis Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:00 AM