Foto hiasan Reuters
Foto hiasan Reuters
Agensi

Manila: Seramai 15 kanak-kanak berjaya diselamatkan pasukan keselamatan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan seks dalam talian yang didalangi dua remaja perempuan.

Dalam operasi itu, polis menahan remaja berusia 17 tahun didakwa sebagai dalang utama bersama rakan subahat berusia 18 tahun di sebuah kolam persendirian di sebuah resort yang terletak di daerah Sampaloc.

Menurut polis, semua mangsa adalah gadis kecuali seorang remaja lelaki, berusia antara 13 hingga 17 tahun, dipaksa melakukan aktiviti seksual di hadapan kamera web bagi tontonan pelanggan asing dengan bayaran 10,000 peso (RM790).

Kedua-dua suspek dan mangsa dibawa ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak dan Wanita di bandar Taguig bagi proses dokumentasi.

Polis berkata, suspek akan berdepan tindakan undang-undang kerana terbabit aktiviti pemerdagangan kanak-kanak dan jenayah siber.

Berdasarkan undang-undang juvana, suspek berusia 18 tahun boleh didakwa sebagai orang dewasa.

Namun, suspek berusia 17 tahun perlu menyertai program intervensi kerana berada dalam lingkungan lebih 15 tahun tetapi di bawah 18 tahun yang dikecualikan daripada liabiliti jenayah.

Bagaimanapun, sekiranya suspek bawah umur itu dibuktikan tahu atau menyedari apa yang dilakukannya adalah salah, maka dia boleh dikenakan hukuman sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam operasi berasingan di bandar Caloocan pada Rabu lalu, polis menyelamatkan dua pelajar berusia 13 dan 16 tahun, dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual dan eksploitasi dalam talian oleh kedua ibu bapa mereka, jiran serta penjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:13 PM