LOGO Threads. FOTO AFP
LOGO Threads. FOTO AFP
AFP

Washington: Pemilk Facebook (FB), Meta secara rasmi akan melancarkan Threads iaitu platform saingan terbaharu Twitter, pada Rabu.

Bagaimanapun, pelancaran Threads di Eropah ditangguhkan kerana kebimbangan terhadap peraturan.

Threads akan menjadi saingan terbesar kepada Twitter milik Elon Musk yang menyaksikan beberapa siri pesaing berpotensi muncul tetapi belum lagi menggantikan salah satu syarikat media sosial paling ikonik itu.

Sebuah laman web berkata, pelancaran Threads dianjakkan kepada 7 malam Rabu (waktu tempatan) walaupun perancangan awalnya adalah 2 petang pada Khamis.

"Jika pengguna IG (Instagram) dengan bilangan pengikut yang ramai seperti Kardashian (Kim Kardashian) atau Bieber (Justin Bieber) atau Messi (Lionel Messi) mula menggunakan Threads dengan kerap, platform baharu boleh berkembang pesat," kata penganalisis kewangan strategik Brian Wieser di Substack.

Zuckerberg difahamkan secara meluas akan mengambil kesempatan daripada situasi huru-hara sejak Musk mengambil alih Twitter.

Threads diharapkan menjadi saluran komunikasi baharu untuk selebriti, syarikat dan ahli politik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 10:41 AM