Kapal selam kecil Titan yang dikendalikan OceanGate Expeditions. - FOTO AFP
Kapal selam kecil Titan yang dikendalikan OceanGate Expeditions. - FOTO AFP
AFP

Montreal: Pihak berkuasa Kanada kini memulakan siasatan ke atas tragedi letupan kapal selam kecil Titan dengan siasatan penuh boleh mengambil masa antara 18 bulan hingga dua tahun.

"Mandat kami adalah untuk mengetahui apa dan mengapa ia berlaku. Ia juga untuk mengetahui perkara yang perlu diubah untuk mengurangkan peluang atau risiko kejadian sedemikian pada masa hadapan," kata pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan (TSB), Kathy Fox.

"Kami tahu semua orang mahukan jawapan, terutamanya keluarga dan orang ramai," katanya kepada pemberita di St John's, Newfoundland.

Penyiasat TSB pada Sabtu menaiki kapal kargo Polar Price berbendera Kanada, yang telah berlayar dari St John's hujung minggu lalu untuk membawa Titan ke tempat pelancarannya di Atlantik utara.

TSB secara rutin menyiasat kemalangan udara, kereta api, marin dan saluran paip dengan tujuan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan. Ia tidak memperuntukkan kesalahan atau menentukan liabiliti sivil atau jenayah.

Pengawal Pantai AS berkata, pada Khamis bahawa semua lima orang di atas kapal selam itu meninggal dunia selepas kapal itu mengalami "ledakan yang dahsyat."

Sebuah medan serpihan ditemui di dasar laut, 500 meter dari haluan Titanic.

Sementara itu, Royal Canadian Mounted Police (RCMP) sedang meneliti sama ada kejadian itu melanggar mana-mana undang-undang jenayah negara berkenaan.

Tugas penyiasat adalah untuk menentukan "sama ada siasatan penuh oleh RCMP wajar atau tidak," kata Penguasa Newfoundland dan Labrador, Kent Osmond. - AFP

"Siasatan sedemikian akan diteruskan hanya jika pemeriksaan kami mendapati kejadian itu mungkin melanggar undang-undang jenayah persekutuan atau wilayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 5:17 PM