AFP

Boston: Semua lima individu dalam kapal selam yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic terbunuh selepas kapal terbabit mengalami apa yang dikatakan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sebagai "letupan bencana" laut dalam.

Pengumuman suram itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) multinasional sejak kapal pelancong kecil itu hilang di Atlantik Utara empat hari lalu.

Laksamana Muda John Mauger memberitahu wartawan di Boston, analisis menunjukkan serpihan yang ditemukan di dasar laut, 1,600 kaki (500 meter) dari Titanic, adalah konsisten dengan letupan ruang tekanan kapal selam itu.

"Buat masa ini, robot tanpa pemandu akan meneruskan operasi di dasar laut," katanya.

KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP
KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP

Mangsa yang berada dalam kapal itu ialah penjelajah British, Hamish Harding; pakar kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet; taikun Pakistan-British Shahzada Dawood dan anaknya Suleman serta Stockton Rush, Ketua Pegawai Eksekutif pengendali kapal selam, OceanGate Expeditions.

Harding seorang bilionair dan penjelajah yang berminat dengan tiga Rekod Dunia Guinness untuk namanya, manakala keluarga Dawood adalah salah satu keluarga terkaya di Pakistan.

Nargeolet digelar 'Mr Titanic' kerana kerap menyelam di tapak itu.

Kerajaan United Kingdom, Pakistan serta OceanGate Expeditions menzahirkan takziah kepada semua keluarga mangsa.

Awal pagi semalam, Pengawal Pantai mengumumkan, robot bawah air menemui "medan serpihan" di kawasan pencarian.

Pihak berkuasa berkata, mereka kemudian mengesahkan serpihan itu termasuk kon ekor kapal selam dan bahagian depan dan belakang badan tekanannya.

Kapal selam kecil, Titan itu hilang sejak Ahad lalu ketika ia ke lokasi bangkai Titanic, yang terletak hampir empat kilometer (km) di bawah permukaan lautan dan 644 km dari pantai Newfoundland, Kanada.

OceanGate Expeditions mengenakan bayaran AS$250,000 (RM1,168,250) untuk tiket tempat duduk menaiki kapal selam pelancongan itu.

Sebelum ini, bekas pengarah operasi marin syarikat itu dalam tuntutan mahkamah pada 2018, menimbulkan kebimbangan mengenai reka bentuk eksperimen dan belum teruji Titan.

Titan berukuran 6.5 meter dijangka muncul semula tujuh jam selepas mula turun ke dasar laut kira-kira 8 pagi, Ahad lalu.

Namun, tidak sampai dua jam, kapal selam itu terputus komunikasi dengan kapal induk.

Misi SAR turut membabitkan kapal dan pesawat Pengawal Pantai AS dan Kanada serta robot yang dihantar dari Perancis.

Pencarian kapal itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 20,000 km persegi di permukaan air, bersamaan saiz negeri Massachusetts di AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 7:48 AM