KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP
KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP
AFP

Washington: OceanGate, yang mengendalikan kapal selam Titan, yang meletup hingga mengorbankan lima nyawa, menghentikan semua operasi penerokaan dan komersial mereka.

Syarikat itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan semua operasi dalam laman web mereka semalam.

Keputusan itu diumumkan selepas dua minggu tragedi itu yang turut mengorbankan Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Stockton Rush.

Turut berada di atas kapal itu ialah bilionair Britain, Hamish Harding, pakar kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet dan taikun Pakistan-Britain, Shahzada Dawood dan anaknya, Suleman.

Pada 18 Jun lalu, kapal selam Titan dilaporkan hilang sebelum Pengawal Pantai AS mengumumkan pada 22 Jun lalu, kapal itu mengalami letupan dahsyat sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Minggu lalu, pakar menemui cebisan kecil mayat manusia di dasar laut dan dibawa ke pelabuhan St John's, Newfoundland di timur Kanada.

Mangsa diandaikan meninggal dunia serta-merta apabila Titan yang mempunyai saiz sebesar kenderaan utiliti sukan (SUV), meletup di bawah tekanan tinggi Lautan Atlantik, pada kedalaman hampir empat kilometer (km).

Sebuah medan serpihan ditemui 500 meter dari Titanic, yang terletak 644 km dari pantai Newfoundland.

OceanGate Expeditions mengenakan bayaran AS$250,000 (RM1,167,700) untuk tiket menaiki kapal selamnya untuk meneroka lokasi bangkai Titanic, tetapi kebimbangan sebelum ini mengenai aspek keselamatannya terbongkar selepas letupan itu.

Pengawal Pantai AS dan pihak berkuasa Kanada menjalankan siasatan mengenai punca tragedi itu yang berlaku selepas Titan terputus hubungan kira-kira sejam 45 minit selepas masuk dalam lautan.

Titanic melanggar bongkah ais dan tenggelam pada tahun 1912 semasa pelayaran sulungnya dari England ke New York hingga mengorbankan lebih 1,500 orang.

Kapal itu membawa 2,224 penumpang dan anak kapal di dalamnya.

Ia ditemukan pada tahun 1985 dan sejak itu, menjadi tempat tarikan pakar nautika dan pelancong bawah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 12:02 PM