KENDERAAN polis di luar taman di Richmond, Virginia yang menyaksikan seorang lelaki melepaskan tembakan hingga mengorbankan dua orang dan lima lagi cedera. FOTO Reuters.
KENDERAAN polis di luar taman di Richmond, Virginia yang menyaksikan seorang lelaki melepaskan tembakan hingga mengorbankan dua orang dan lima lagi cedera. FOTO Reuters.
Reuters

Richmond: Dua individu maut manakala lima lagi cedera selepas lelaki bersenjatakan empat pistol melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri majlis graduasi sekolah di Richmond, Virginia, semalam.

Polis dilapor sudah menahan suspek iaitu lelaki berusia 19 tahun yang mengenali seorang daripada mangsa dan menembak ke arahnya di tengah-tengah orang ramai yang baru sahaja keluar daripada majlis graduasi Sekolah Tinggi Huguenot yang berlangsung di dewan kampus Universiti Commonwealth Virginia.

Suspek berkemungkinan didakwa terhadap dua pertuduhan membunuh tahap dua, sebagai tambahan kepada kesalahan lain, kata Pemangku Ketua Polis Rick Edwards dalam sidang media.

Edwards menyifatkan penembak itu sebagai "menjijikkan dan pengecut" memandangkan perselisihannya hanya dengan seorang individu sahaja.

"Apabila ada ramai orang berkumpul begini, orang yang tidak bersalah terperangkap dalam kekacauan dan inilah yang berlaku hari ini (semalam).

"Jelas sekali tempat ini sepatutnya tempat selamat, malangnya seseorang buat keputusan membawa senjata dan menghujani masyarakat dengan keganasan," katanya.

Menurut Edward, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 18 dan 36 tahun.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan laporan televisyen WWBT yang mangsa adalah bapa dan anak.

Mangsa yang cedera pula adalah lelaki 31 tahun yang kritikal, manakala empat lagi lelaki berusia 14, 32, 55 dan 58 tahun dijangka stabil.

Dalam pada itu, kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dilanggar kereta ketika kekecohan itu dan ramai orang cedera kerana terjatuh serta alami keresahan melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 1:47 PM