SYARIKAT farmaseutikal GSK menghasilkan vaksin RSV, Arexvy dan diluluskan penggunaannya untuk pesakit 60 tahun ke atas. FOTO AFP.
SYARIKAT farmaseutikal GSK menghasilkan vaksin RSV, Arexvy dan diluluskan penggunaannya untuk pesakit 60 tahun ke atas. FOTO AFP.
BERNAMA

New York: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Rabu meluluskan vaksin virus sinsitium pernafasan (RSV) pertama di dunia, iaitu Arexvy, untuk digunakan di negara terbabit.

Arexvy, dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal GSK, telah diluluskan untuk kegunaan individu berumur 60 tahun ke atas bagi mencegah penyakit yang disebabkan oleh RSV.

Virus RSV sangat mudah menular dan menyebabkan jangkitan pada paru-paru serta saluran pernafasan tanpa mengira usia, menurut FDA.

"Kelulusan vaksin RSV hari ini menyaksikan pencapaian penting dalam kesihatan awam bagi mencegah penyakit yang boleh mengancam nyawa dan mencerminkan komitmen berterusan FDA untuk membangunkan vaksin yang selamat dan berkesan untuk digunakan di Amerika Syarikat," kata pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA Peter Marks, seperti dilaporkan oleh Agensi Anadolu.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kira-kira 60,000-120,000 kemasukan ke hospital dan 6,000-10,000 kematian direkodkan akibat RSV membabitkan orang dewasa berumur 65 tahun ke atas di AS.

Kajian yang disertai kira-kira 12,500 orang mendapati Arexvy mengurangkan risiko penyakit sebanyak 82.6 peratus dan berkesan terhadap gejala teruk sebanyak 94.1 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 10:08 AM