Abdul Aziz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Noor Izham dan isterinya, Nur Emalina. FOTO Amir Irsyad Omar
Abdul Aziz (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Noor Izham dan isterinya, Nur Emalina. FOTO Amir Irsyad Omar
Muhammad Shalaby Shahbuddin


SELAIN perlu melakukan kerja lebih masa di kilang, saya mengambil upah mencuci kereta setiap Ahad," kata seorang bapa yang terpaksa bekerja keras menampung perbelanjaan harian keluarganya dan mendapatkan dana sebanyak RM18,250 apabila seorang anaknya yang dilahirkan pramatang kini menghidap penyakit paru-paru kronik.

Mohd Noor Izham Abd Mutalib, 29, berkata, isterinya, Nur Emalina Jihan Abd Rahim, 32 sepatutnya melahirkan anak kedua iaitu bayi perempuan mereka, Nur Izzara Sofia bulan hadapan, namun dia dilahirkan pada 29 Ogos lalu ketika berusia 29 minggu, dengan berat 1.44 kilogram (kg).

Dia berkata, kesan daripada kompilasi pramatang itu, bayi itu yang kini berusia dua bulan dengan berat 2.25kg terpaksa bergantung kepada bantuan mesin oksigen 24 jam untuk terus bernafas dengan baik.

"Doktor pakar di Jabatan Kanak-Kanak Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan terdapat sejenis jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV) didapati kerap berlaku terhadap kanak-kanak di bawah umur dua tahun mengakibatkan batuk dan selesema, sekali gus turut mendapat komplikasi pernafasan.

"Kesan daripada itu, sekiranya jangkitan RSV ini membabitkan kanak-kanak pramatang yang mempunyai penyakit paru-paru kronik seperti Nur Izzara Sofia, ia pasti akan menjadi lebih serius dan boleh membawa maut," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan dan sumbangan daripada Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Abdul Aziz Sheikh Ahmad di rumahnya di Taman Guar Perahu Indah, Bukit Mertajam, kelmarin.

Mohd Noor Izham berkata, selain itu, dia turut dimaklumkan supaya mendapatkan sejenis ubat di pasaran dinamakan Palivizumab (Synagis) yang bertindak sebagai antibodi terhadap jangkitan RSV itu, malah ia amat penting diberikan kepada pesakit berisiko tinggi seperti anaknya.

Katanya, ubat berkenaan perlu diberikan setiap bulan selama lima bulan kepada anaknya, namun pihak HSJ tidak dapat membiayai kos perubatan itu yang berharga RM3,650 untuk satu 'vial', sekali gus berjumlah RM18,250 untuk lima 'vial'.

"Sejak Nur Izzara Sofia dilahirkan, pendapatan bulanan saya terjejas berikutan kerap mengambil cuti tanpa gaji hingga perlu melakukan kerja lebih masa selain membuat kerja sambilan mencuci kereta di Raja Uda, Butterworth setiap hari Ahad untuk menampung perbelanjaan harian termasuk lampin pakai buang dan tisu basah yang membabitkan kos hampir RM200 sebulan.

"Malah, isteri pula terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian dan menguruskan keperluan Nur Izzara Sofia setiap hari yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak HSJ selain anak lelaki sulung kami baru berusia dua tahun," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, dia memohon agar pihak hospital mengambil inisiatif atau mencari jalan penyelesaian bagi memudahkan permasalahan dihadapi pasangan suami isteri berkenaan.

"Di samping itu, saya turut memohon jasa baik orang ramai yang berkemampuan untuk membantu Nur Izzara Sofia supaya pulih daripada penyakit kroniknya.

"Marilah kita sama-sama mendoakan agar Nur Izzara Sofia mendapat kesihatan yang baik," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan pasangan terbabit boleh menyalurkannya ke dalam akaun bank CIMB (7620767705) atas nama Mohd Noor Izham atau Maybank (157091226671) atas nama Nur Emalina Jihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:55 PM