DRON MQ-9 Reaper milik AS. FOTO Pengawal Negara AS
DRON MQ-9 Reaper milik AS. FOTO Pengawal Negara AS
AFP

Washington: Sebuah jet pejuang Rusia memintas dan berlanggar dengan dron Amerika Syarikat (AS) hingga menyebabkan ia terhempas di Laut Hitam.

Komando Eropah AS berkata, dua pesawat pejuang Su-27 Rusia memintas MQ-9 Reaper tanpa pemandu di perairan antarabangsa.

"Beberapa kali sebelum perlanggaran, Su-27 membuang bahan api dan terbang di hadapan MQ-9 dengan cara yang melulu, tidak menepati standard alam sekitar dan tidak profesional," katanya.

Kenyataan itu mengesahkan laporan awal AFP mengenai insiden membabitkan dron buatan AS di kawasan itu.

Tindakan pemintasan Rusia di Laut Hitam adalah perkara biasa, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada wartawan di Washington.

Namun katanya, isu kali ini perlu diberi perhatian kerana cara Rusia mendatangkan risiko bahaya dan tidak profesional.

Diplomat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Brussels yang mengesahkan kejadian itu berkata, mereka tidak menjangka ia akan terus meningkat kepada konfrontasi selanjutnya.

Sumber tentera Barat berkata, saluran diplomatik antara Rusia dan AS boleh membantu mengehadkan sebarang perselisihan.

AS menggunakan MQ-9 Reaper untuk tujuan pengawasan dan serangan serta sudah lama beroperasi di atas Laut Hitam bagi mengawasi pasukan tentera laut Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 10:32 AM