RUMAH merah jambu di  Wisconsin, AS. FOTO Agensi
RUMAH merah jambu di Wisconsin, AS. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Fenomena filem Barbie terus menular dan menjadi trend hingga rumah berwarna jambu memasuki pasaran hartanah.

India Times melaporkan, salah satunya adalah rumah di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).

Kediaman yang dicat sepenuhnya dengan warna merah jambu di dalam dan di luar, baru-baru ini mencecah pasaran dengan harga permulaan AS$1.1 juta (kira-kira RM5.1 juta).

Terletak di Hudson, kediaman itu mempunyai keluasan lebih 1,707 meter persegi ruang, tujuh bilik tidur dan empat bilik mandi.

Terletak berhampiran Sungai St. Croix dan tidak jauh dari pusat bandar, kediaman itu dilesenkan sebagai Airbnb.

Ia menjadikannya pilihan unik dan tidak dapat dilupakan bagi mereka mahu merasai 'suasana' merah jambu dalam penginapan mereka, selain kelihatan seperti kediaman mewah.

Di sebalik usaha pemasarannya, kediaman yang menarik perhatian itu turut mendapat perhatian di laman Instagram (IG) popular Zillow Gone Wild.

"Pemiliknya memiliki kedai solek, dia suka Barbie dan merah jambu," menurut hantaran di Instagram itu.

Selain reka bentuk dalaman yang menarik, tempat penginapan itu memiliki beberapa ciri yang patut diberi perhatian, seperti tingkap kaca berwarna, sudut membaca di tingkat dua dan dua dapur lengkap disertai dengan ruang makan formal dan tidak formal, serta ruang tamu dengan perapian.

Bilik keluarga di tingkat utama dilengkapi kerja kayu asli sejak ia dibina pada 1900.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 11:58 AM