PAPARAN reka bentuk kediaman dua tingkat Gunung Lang Teak Villas.
PAPARAN reka bentuk kediaman dua tingkat Gunung Lang Teak Villas.
Oleh Farah Suhaidah Othman

Ipoh: Gunung Lang Development Sdn Bhd yang membangunkan projek kediaman Gunung Lang Teak Villas menjanjikan keselesaan yang sempurna kepada pemiliknya dari segi reka bentuk moden dan lebih praktikal.

Dengan lokasi strategik yang dikelilingi batu kapur dan persekitaran senyap menjadikan rumah teres dua tingkat 62 unit ini pilihan tepat kepada pembeli yang mahu kehidupan tenang dan selesa.

Pengurus Besarnya Deric Loo berkata, pihaknya menyediakan pelbagai tawaran istimewa kepada pembeli seperti sistem penggera, sistem pintu pagar automatik, penyediaan dua unit suis pendingin hawa di ruang tamu dan bilik tidur utama, penyediaan empat suis sistem pemanas air serta perkhidmatan WiFi bagi unit rumah yang dilengkapi kawalan keselamatan.

“Selain itu, syarikat kami menawarkan yuran guaman dan perbelanjaan yang berkaitan perjanjian jual beli, pinjaman dan pemindahan di mana ia hanya sah kepada panel peguam dan bank yang diluluskan oleh pemaju serta baucer satu peratus yang sah digunakan sehingga 22 Mac ini,” katanya.

Deric berkata, projek hartanah ini menawarkan dua pilihan unit rumah teres dua tingkat iaitu pembelian unit dilengkapi dengan kawalan keselamatan pada harga bermula RM388,800 manakala unit tanpa kawalan keselamatan dengan harga serendah RM368,800.

“Sistem kawalan keselamatan Teak Villas merangkumi perkhidmatan keselamatan 24 jam, sistem pemantauan pusat (CMS), sistem penggera kepada CMS, kamera litar tertutup (CCTV), interkom, kad akses serta pintu pagar automatik.

“Projek hartanah yang sudah terjual 30 peratus daripada jumlah keseluruhan unit turut memberi potongan lima peratus kepada pembeli Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:13 AM