FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Des Moines: Seorang wanita di Iowa, Amerika Syarikat (AS) didapati dalam keadaan masih bernyawa, di dalam beg mayat yang dihantar ke rumah pengebumian, baru-baru ini.

Metro UK melaporkan, kakitangan di Pusat Penjagaan Khas Alzheimer Glen Oaks di Urbandale, Iowa, pada mulanya mengesahkan individu berusia 66 tahun itu meninggal dunia pada 3 Januari lalu.

Ia selepas seorang jururawat mendapati nadi wanita itu terhenti.

Kakitangan pusat berkenaan kemudian menghubungi keluarga wanita berkenaan untuk memaklumkan berita 'sedih' itu.

Jururawat kedua dan pengarah pengebumian juga gagal mengesan tanda-tanda bahawa wanita itu masih bernyawa.

Ia kerana mata dan mulut wanita itu terbuka, tetapi jasadnya kaku.

Menurut mereka, tiada bunyi pernafasan, mahupun degupan jantung dikesan menerusi stetoskop.

Tubuh wanita itu kemudiannya dimasukkan ke dalam beg mayat berzip hampir dua jam selepas jururawat pertama mendapati dia tidak bertindak balas dan dibawa ke rumah pengebumian.

Bagaimanapun, selepas kira-kira 45 minit ia tiba di rumah pengebumian berkenaan, petugas membuka beg berkenaan sebelum terkejut apabila mendapati wanita itu dalam keadaan tercungap-cungap.

Petugas kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum paramedik mendapati wanita itu sebenarnya masih hidup.

Dia dipindahkan ke pusat perubatan dan kemudian kembali ke pusat jagaan, tetapi meninggal dunia dua hari kemudian iaitu pada 5 Januari.

Sementara itu, Jabatan Pemeriksaan dan Rayuan Iowa mengeluarkan kenyataan untuk Pusat Penjagaan Khas Glen Oaks Alzheimer, pada Khamis, berhubung kejadian itu.

Laporan jabatan mendapati bahawa pusat jagaan itu gagal memberikan arahan untuk memastikan penjagaan dan perkhidmatan yang sesuai diberikan.

Kakitangan yang bekerja syif 12 jam sebelum kejadian juga gagal memastikan penghuni pusat jagaan berkenaan menerima layanan dan penjagaan baik sebelum meninggal dunia

Berikutan itu, pusat jagaan terbabit perlu membayar denda AS$10,000 (kira-kira RM42,580) sebagai ganti rugi.

Difahamkan, polis tempatan enggan meneruskan dakwaan jenayah bagi kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:02 PM