LOKASI kejadian pembunuhan beramai-ramai. FOTO EPA
LOKASI kejadian pembunuhan beramai-ramai. FOTO EPA
Agensi

Tokyo: Sembilan belas orang mati dalam satu serangan di sebuah pusat jagaan orang kurang upaya mental di Jepun.

Kejadian di Sagamihara, barat Tokyo itu adalah pembunuhan beramai-ramai paling buruk di negara itu sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Polis menahan seorang bekas kakitangan pusat itu yang datang ke balai polis berhampiran dan mengaku melakukan pembunuhan itu.

Lelaki itu dilaporkan berkata, dia mahu menghapuskan semua orang kurang upaya.

Laporan media tempatan menamakan lelaki berusia 26 tahun itu sebagai Satoshi Uematsu.

Kakitangan pusat itu menelefon polis kira-kira jam 2.30 pagi (1.30 pagi waktu Malaysia) untuk melaporkan seorang lelaki berada di dalam bangunan itu.

Penyerang itu dikatakan memecah tingkap untuk memasuki pusat berkenaan sebelum mula menikam penghuninya.

Agensi berita Kyodo melaporkan, mangsa berusia antara 18 dan 70 tahun.

Penyerang kemudian meninggalkan pusat itu sebelum memandu keretanya ke balai polis Tsukui untuk menyerah diri. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 12:02 PM