KEMAMPUAN ChatGPT dikatakan bukan sahaja boleh menulis esei  dan sajak, malah ia boleh menjawab soalan peperiksaan. FOTO AP
KEMAMPUAN ChatGPT dikatakan bukan sahaja boleh menulis esei dan sajak, malah ia boleh menjawab soalan peperiksaan. FOTO AP
Syah Rul Aswari Abdullah

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai chatbot yang 'lulus' peperiksaan sekolah undang-undang di Amerika Syarikat (AS) selepas menulis esei mengenai topik berhubung cukai dan pelanggaran hak.

Chatbot adalah program komputer yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan pemahaman bahasa tabii atau natural language understanding (NPL). Ia direka bentuk untuk menyerupai perbualan manusia dan boleh menjawab soalan pengguna dalam bentuk tulisan atau suara.

Dalam kes ini, chatbot yang digunakan adalah ChatGPT yang bukan sahaja boleh menulis esei dan sajak, malah ia boleh menjawab soalan peperiksaan. ChatGPT ini daripada OpenAI, sebuah syarikat AS yang mendapat suntikan dana daripada Microsoft. Ia menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana teks dengan mudah.

Hasilnya sangat menakjubkan sehingga pendidik memberi amaran bahawa ia boleh membawa kepada penipuan, malah memberi isyarat kaedah pengajaran bilik darjah tradisional akan berakhir. Susulan itu, ada sekolah di New York, AS dan universiti utama di Perancis yang sudah mengharamkan penggunaan teknologi ini.

Chatbot ini sebenarnya bukanlah perkara baharu. Kita sudah lama menggunakan chatbot dalam aktiviti seharian. Contoh paling mudah - apabila melayari AVA AirAsia. Sistem menggunakan AI ini akan menjawab pertanyaan mudah mengenai produk dan perkhidmatan tanpa perlu menggunakan khidmat manusia.

Pendek kata, kita sebenarnya sudah lama 'bercakap' dengan robot yang diprogramkan supaya dapat menjawab pertanyaan pengguna, seolah-olah kita berbual dengan manusia.

Berbalik mengenai AI, industri media juga tidak terkecuali untuk terus bereksperimen dengan chatbot. Laporan Trend dan Jangkaan Kewartawanan, Media dan Teknologi 2023 oleh Institut Reuters, antaranya menyatakan, syarikat media secara 'senyap-senyap' cuba mengaplikasikan AI ke dalam produknya supaya ia menjadi lebih bersasar dan bersifat peribadi.

Sejak beberapa tahun lalu, ada beberapa organisasi media yang sudah menggunakan chatbot dalam penulisan berita. Ia digunakan untuk penulisan berita bisnes, contohnya, dalam pelaporan mengenai keputusan kewangan dengan mengambil kira bahawa laporan seperti itu adalah lebih bersifat fakta dan angka.

Daripada satu segi, langkah ini dapat menjimatkan masa wartawan untuk merungkai ratusan halaman mengandungi fakta yang diperlukan dalam penulisan berita.

Namun, persoalannya, adakah ini bermakna robot akan menggantikan tugas wartawan? Daripada satu segi, teknologi boleh menjimatkan jumlah tenaga pekerja. Hal ini kerana chatbot tidak perlu memandu untuk ke pejabat, berehat atau terpaksa mengambil cuti sakit.

Namun, nama pun robot, sistem AI masih terdedah kepada kesilapan. Sebagai contoh, CNET iaitu laman web AS yang menerbitkan reviu, berita, artikel, blog, podcast dan video dalam bidang teknologi dan kepenggunaan elektronik, baru-baru ini, terpaksa mengakui bahawa ada artikel kewangannya yang ditulis dengan chatbot mengandungi kesalahan.

CNET yang sudah menggunakan teknologi AI ini sejak November 2022 terpaksa membuat pembetulan membabitkan 41 daripada 77 artikel terbitannya yang ditulis menggunakan AI.

Selain itu, robot juga mempunyai kekangan kerana tidak mempunyai deria atau emosi seperti manusia. Jadi, penulisan artikel dengan AI kini dilihat lebih sesuai kepada penulisan berita perniagaan seperti laporan keputusan kewangan. Pada masa sama, editor masih diperlukan untuk menyemak artikel yang dijana dengan teknologi AI ini.

Namun, ini adalah pemerhatian penulis setakat awal 2023. Siapa tahu, enam bulan lagi, ada inovasi yang dapat menambah baik chatbot ini. Pada masa itu, mungkin artikel seperti ini sudah ditulis sepenuhnya dengan teks janaan komputer.

Penulis Penolong Pengarang Berita, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:00 AM