MAURICE Hastings. FOTO fail AP
MAURICE Hastings. FOTO fail AP
AP

Los Angeles: Seorang lelaki yang menghabiskan lebih 38 tahun di penjara kerana pembunuhan pada 1983 dan dua cubaan membunuh dibebaskan dari penjara California selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan individu terbabit sebenarnya adalah orang lain.

Pendakwa raya Kaunti Los Angeles berkata, pertuduhan terhadap Maurice Hastings, 69, dan hukuman penjara seumur hidup digugurkan dalam perbicaraan mahkamah pada 20 Oktober lalu atas permintaan pendakwa raya dan peguamnya dari Los Angeles Innocence Project di Universiti Negeri California, Los Angeles.

"Saya berdoa selama bertahun-tahun supaya hari ini tiba," kata Hastings pada sidang akhbar pada Jumaat sambil menambah dia tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa.

Menurut lelaki itu, dia hanya mahu menikmati hidup sementara hayatnya masih ada.

Mangsa dalam kes itu, Roberta Wydermyer, diserang secara seksual dan dibunuh dengan satu tembakan di kepala, kata pihak berkuasa.

Mayatnya ditemukan di dalam bagasi di kenderaannya di pinggir bandar Los Angeles, Inglewood.

Hastings didakwa dengan pembunuhan dan pejabat pendakwa raya memohon hukuman mati, tetapi juri menemui jalan buntu.

Juri kedua mensabitkannya bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1988 tanpa kemungkinan parol.

Hastings mengekalkan pengakuan tidak bersalah sejak hari pertama dia ditahan.

Dalam proses bedah siasat mangsa, koroner menjalankan pemeriksaan mendapati terdapat serangan seksual dan air mani dikesan dalam calitan mulut, kata kenyataan pendakwa raya.

Hastings mahu menjalani ujian DNA pada 2000 tetapi pada masa itu, permohonannya ditolak pejabat pendakwa raya.

Hastings mengemukakan tuntutan tidak bersalah kepada Unit Integriti Sabitan Pendakwa Raya tahun lalu, dan ujian DNA Jun lalu mendapati air mani itu bukan miliknya.

Profil DNA itu dimasukkan ke dalam pangkalan data negeri bulan ini dan dipadankan dengan seseorang yang disabitkan dengan kes penculikan bersenjata di mana seorang mangsa wanita diletakkan di dalam bagasi di kenderaan serta dipaksa melakukan oral seks.

Suspek itu yang namanya tidak didedahkan meninggal dunia di penjara pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:34 AM